KOTA KINABALU – UMNO Sabah membidas dakwaan Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali mengenai tuduhan pentadbiran Barisan Nasional (BN) terdahulu khususnya Datuk Seri Bung Moktar Radin sebagai punca Sabah ‘hilang dua tahun’ dalam pembangunan projek kritikal.

Ketua Penerangannya, Datuk Suhaimi Nasir yang juga merupakan Calon BN N52 Sungai Sibuga menegaskan, kenyataan Armizan itu adalah taktik politik terdesak untuk mengalih perhatian rakyat daripada kelemahan pentadbiran Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Dakwaan Armizan itu ternyata cuba mengalih perhatian rakyat daripada kegagalan yang lebih besar dalam pentadbiran GRS.

“Kelewatan projek-projek kritikal di Sabah berpunca daripada masalah sistemik yang kronik, terutamanya birokrasi di Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) yang terlalu kompleks, proses perolehan yang perlahan dan isu penyelarasan pembiayaan Persekutuan yang berlapis.

“Itu kelemahan kepimpinan GRS sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, isu-isu ini tidak dapat ditangani kerana kelemahan kepimpinan politik GRS dalam mentadbir sehingga menyebabkan berlakunya ‘decision paralysis’ (lumpuh keputusan) terhadap projek-projek major.

“Jadi Armizan, ini menunjukkan bahawa masalah tersebut bukan berpunca daripada seorang menteri, tetapi daripada kegagalan kepimpinan utama GRS mengurus kerajaan gabungan dengan efektif.

“Tapi seperti biasa, apabila gagal, mereka memilih untuk menyalahkan orang lain,” katanya, sambil menyifatkan taktik itu ‘tidak membawa nilai tambah’.

Dalam pada itu, Suhaimi yang juga merupakan Ahli Parlimen Libaran berkata, BN menawarkan solusi segera kepada masalah yang dibongkarnya.

“BN hadir dengan ‘roadmap’ yang jelas untuk mempercepatkan pembangunan infrastruktur, menolak slogan kosong GRS.

“Tiga fokus utama janji BN Adalah Fast-Track Projek Air: Melaksanakan Mekanisme Fast-Track Procurement bagi projek air kritikal untuk disiapkan dalam tempoh 12 hingga 18 bulan sahaja untuk mengelakkan peningkatan kos tidak munasabah seperti kes Projek Kogopon.

“Kedua, BN akan menubuhkan Project Delivery Unit (PDU) di bawah Pejabat Ketua Menteri.

“Unit ini akan berfungsi memantau tender, pembiayaan, dan isu tanah bagi projek strategik, sekali gus menghapuskan kelewatan akibat ‘lumpuh keputusan’.

“Terakhirnya adalah reformasi SESB di mana BN beriltizam menyusun semula Lembaga Pengarah SESB berasaskan kepakaran teknikal dan memberi keutamaan kepada pelaburan grid jangka panjang, termasuk Southern Link untuk menjamin kestabilan bekalan elektrik dalam tempoh lima hingga lapan tahun,” jelasnya.

Beliau berkata, inilah perbezaan ketara di antara BN dan GRS.

“Armizan memang dikenali dengan kelemahan kalau bertutur termasuk membuat tuduhan sebegini.

“Namun rakyat boleh menilai siapa yang menawarkan solusi, siapa yang mempunyai pengalaman, dan siapa yang benar-benar mampu melaksanakan,” katanya.

“Perbezaannya jelas. Yang lain berslogan. BN bekerja,” katanya. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast