KUALA LUMPUR – Syarikat Tong Bus & Tour Service Sdn. Bhd. (Tong Bus & Tour Service) didenda sebanyak RM7,000 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan gagal menggunakan khidmat pemandu pelancong berlesen ketika mengendalikan
aktiviti pelancongan dalam negeri.
Majistret Nur Fadrina Zulkhairi mensabitkan syarikat tersebut atas kesalahan di bawah Peraturan 6(1)(i)(iii) dibaca bersama Peraturan 6(2) Peraturan-Peraturan Industri Pelancongan (Perniagaan Pengendalian Pelancongan dan Perniagaan Agensi Pengembaraan) 1992 [P.U.(A) 333/1992].
Sekiranya gagal menjelaskan denda tersebut, syarikat boleh dikenakan hukuman penjara selama satu bulan.
Pendakwaan telah dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Nurul Hidayah Aman dan dibantu oleh Revathy A/P Muruvin dari Pejabat MOTAC Negeri Pulau Pinang.
MOTAC berkata, kesalahan di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 [Akta 482] dan peraturan-peraturan di bawahnya merupakan kesalahan jenayah yang serius.
“Kami akan terus melaksanakan tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang, khususnya melibatkan penggunaan pemandu pelancong tidak berlesen yang boleh menjejaskan imej dan keselamatan industri pelancongan negara,” katanya dalam kenyataan di sini. – MalaysiaGazette















