Pekarangan Mahkamah Shah Alam, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 16 JUN 2025.(GAMBAR FAIL)

SHAH ALAM – Seorang bekas pegawai bank diperintah membayar denda RM12,000 selepas mengaku bersalah atas dua tuduhan menerima suapan sebanyak RM5,010.

Tan Chiew Wah membuat pengakuan tersebut di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini.

Terdahulu, lelaki berusia 41 tahun itu dituduh menerima suapan daripada Firma Guaman Arizal Jailani & Co. (AJC) pada 24 Disember 2019 dan 21 Mei 2020 sebagai upah mencadangkan syarikat tersebut menyediakan dokumen perjanjian perumahan.

Selepas membuat pengakuan, Tan yang tidak diwakili peguam merayu supaya hukuman terhadapnya dikurangkan memandangkan beliau tidak mempunyai pendapatan tetap.

“Saya ada satu anak, saya sudah berhenti kerja sejak dua tahun lalu, sekarang hanya kerja sambilan.

“Saya minta kurangkan hukuman selepas saya mengaku bersalah,” katanya di depan Hakim, Datuk Mohd Nasir Nordin.

Kes tersebut dikendali oleh Pegawai Pendakwa Raya, Raymond Nion John Timban.

Sementara itu, dua lagi bekas pegawai bank mengaku tidak bersalah atas tuduhan menerima dan gagal melaporkan rasuah kepada pihak berkuasa.

Mohd Azlan Othman berdepan dengan 34 pertuduhan utama dan pilihan.

Manakala Nur Izzaty, berdepan 32 pertuduhan utama dan pilihan.

Pertuduhan mereka dibacakan secara berasingan di depan hakim yang sama.

Mohd Azlan, antara 29 Mac 2018 hingga 11 Febuari 2022 didakwa menerima suapan berjumlah RM58, 625 menerusi beberapa transaksi daripada Firma Guaman Erifarizan & Hilyatu sebagai upah mencadangkan syarikat itu menyediakan dokumen perjanjian perumahan.

Manakala, Nur Izzaty berdasarkan pertuduhan didakwa menerima RM51,160 antara 31 Januari 2020 hingga  11 Oktober 2022 daripada  Firma Guaman Erifarizan & Hilyatu untuk tujuan yang sama.

Kedua-dua mereka yang diwakili peguam yang sama iaitu Muhammad Firdaus Syaik Alauddin, didakwa melakukan kesalahan di bawah seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) Akta yang sama.

Mahkamah menetapkan ikat jamin sebanyak RM20,000 terhadap Mohd Azlan dan RM15,000 kepada Nur Izzaty.

Kedua-dua mereka juga diperintah menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri sebulan sekali di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan tidak mengganggu saksi sehingga kes selesai.

Kes Mohd Azlan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nidzuwan Latip manakala pertuduhan Nuz Izzaty dikendali Esther Jacyntha.

Tarikh sebutan dan serahan kes bagi kedua-dua tertuduh adalah 19 Januari 2026. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast