KUALA LUMPUR – Monorail terkandas di laluan Medan Tuanku berhampiran Maju Junction menyebabkan penumpang panik dan perjalanan mereka terganggu, pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan melalui NG999 pada jam 9.39 pagi dan segera menghantar jentera ke lokasi.
Pasukan operasi daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Titiwangsa diarahkan ke tempat kejadian bersama jentera FRT-1 dan kekuatan lima anggota lain-lain pangkat.
Menurut Komander Operasi PBK I, Mohamad Remi Che Hat, setibanya pasukan bomba pada jam 9.42 pagi, keadaan di lokasi dikawal dengan baik.
Katanya, seorang wanita dewasa berusia 58 tahun pengsan semasa kejadian.
Namun, mangsa telah sedar selepas menerima rawatan awal dan diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia untuk tindakan selanjutnya.
Kerja-kerja memindahkan penumpang dari monorail yang terkandas dijalankan oleh pihak penyelenggaraan monorail bagi memastikan keselamatan semua.
Sebanyak 373 penumpang berjaya dipindahkan dengan selamat daripada koc monorail yang terhenti itu. – Malaysiagazette
















