JOHOR BAHRU – Kerajaan Negeri Johor tidak patut menganiaya dan menghukum rakyat yang tidak berdosa dengan bertindak kejam menyekat peruntukan di kawasan pembangkang.
Penolong Setiausaha Angkatan Anak Muda Bersatu (Armada) Bahagian Johor, Azhari Jaafar berkata, tindakan berkenaan jelas mengkhianati hak rakyat hanya kerana alasan politik yang tidak matang.
“Kami menyeru Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi agar memastikan peruntukan negeri diagihkan secara adil kerana ia datang daripada semua lapisan rakyat tanpa mengira parti.
“Peruntukan untuk rakyat tidak boleh dijadikan alat politik. Jangan hukum rakyat kerana pilihan mereka dan jangan hukum Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang kerana mereka dipilih untuk mewakili rakyat,” katanya dalam kenyataan.
Beliau menegaskan, ADUN Endau, Alwiyah Talib daripada parti pembangkang pernah menyuarakan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini bahawa haknya dinafikan ke Mesyuarat Tindakan DUN (MTD).
“ADUN ialah wakil sah yang dipilih oleh rakyat, bukan dilantik melalui jawatan parti seperti Penyelaras DUN. Oleh itu, sebarang bentuk sekatan terhadap peranan atau akses mereka atas alasan politik merupakan tindakan yang menafikan mandat rakyat,” ujarnya.
Armada Bersatu Johor katanya, memandang serius isu akses ADUN pembangkang ke MTD yang merupakan platform penting untuk menyelesaikan masalah setempat.
“Jika ADUN disisihkan daripada mesyuarat ini, bagaimana isu rakyat mahu dibawa dan diselesaikan? Rakyat memerlukan tindakan penyelesaian, bukan permainan politik,” tegasnya.
Justeru kata beliau, menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan bakal tiba, rakyat wajar melihat, menilai dan berfikir dengan matang.
Katanya, program bantuan seperti Bakul Kasih Johor (BKJ) tidak boleh dijadikan ukuran kejayaan pentadbiran atau dijadikan sebab untuk mengundi mana-mana pihak.
Azhari berkata, negara sudah menghampiri 2026, seiring perkembangan tersebut politik ‘sempit dan jumud’ tidak boleh lagi menjadi budaya pentadbiran moden.
“Armada Bersatu Johor kekal komited memperjuangkan keadilan, ketelusan dan layanan saksama untuk seluruh rakyat. Semoga mereka di pihak kerajaan diberikan hidayah untuk berlaku adil serta meletakkan kepentingan rakyat melebihi kepentingan politik,” tambahnya.
Pada masa sama, katanya, Armada Johor turut merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada ADUN-ADUN Perikatan Nasional (PN) Johor iaitu ADUN Bukit Kepong, ADUN Endau dan ADUN Maharani pada sidang DUN minggu ini.
Jelasnya, ia kerana keberanian mereka membawa suara rakyat serta mengemukakan soalan-soalan bernas contohnya berkaitan isu air, tanah rizab Melayu dan pelbagai perkara lain.
Pihaknya berharap semua isu yang dibangkitkan dapat dijawab sepenuhnya dengan lebih berani tanpa tertinggal dan dengan penjelasan tuntas daripada Onn Hafiz dalam ucapan penggulungan di DUN esok. – MalaysiaGazette
















