Pelaksanaan Projek Kebun Mini dan Kompos Bokashi bersama pelajar SMK Kuhara.

KOTA KINABALU – Program Professor@School: Sustainability Camp 2025 anjuran Fakulti Kejuruteraan (FKJ) serta Perpustakaan UMS (U-Science) baru-baru ini mampu memperkukuhkan lagi pengetahuan berkaitan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) khususnya dalam kalangan pelajar sekolah.

Program yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuhara, Tawau itu dirangka bagi memberi pendedahan dalam kalangan pelajar mengenai bidang STEM serta menggalakkan pembudayaan inovasi serta kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar.

Aktiviti Bengkel Eco-Bricks From Trash to Treasure oleh pelajar Fakulti Kejuruteraan, UMS.

Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Tawau Sektor Pembelajaran, Mohd Noor Kahal berkata, Sustainability Camp ini merupakan satu inisiatif bermakna dalam memperluas kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar.

“Usaha bersama antara UMS dan SMK Kuhara telah membuka ruang kepada pelajar untuk meneroka potensi diri melalui pengalaman pembelajaran sebenar.

“Inisiatif ini bukan sahaja memupuk kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar, malah mengukuhkan hubungan komuniti dan institusi pendidikan,” katanya ketika berucap merasmikan program tersebut.

Majlis Perasmian Professor@School: Sustainability Camp 2025 di SMK Kuhara, Tawau.

Program yang berlangsung selama tiga hari itu diketuai oleh Pengarah Pusat Pengurusan Strategik, Profesor Ir. Dr. Nurmin Bolong dengan sokongan pelajar tahun empat Program Kejuruteraan Awam, UMS.

Menerusi program tersebut, peserta diberi pendedahan secara langsung melalui aktiviti berasaskan amali seperti pembuatan eco-brick daripada plastik terpakai, pembangunan kebun mini menggunakan kompos Bokashi, serta penghasilan sabun mesra alam daripada minyak masak terpakai.

Pendekatan itu dirangka bagi memperkukuh kemahiran penyelesaian masalah, kreativiti dan pemikiran kritis dalam kalangan pelajar, selain memupuk sikap bertanggungjawab terhadap alam sekitar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast