BONGAWAN – Polemik mengenai siapa ‘hero MA63’ tidak wajar dijadikan bahan kempen semata-mata menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah sebaliknya harus berpaksikan rekod perjuangan sebenar yang telah melalui proses panjang dan penuh risiko politik.
Menurut Ketua Penerangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bongawan, Mohd Saidin Ibrahim, hakikatnya sejarah menunjukkan Tan Sri Anifah Aman merupakan antara pemimpin paling awal dan paling konsisten mengangkat isu MA63 ke peringkat tertinggi.
“Orang boleh berdebat soal siapa wira tetapi jangan sesekali menafikan fakta. Sebelum MA63 menjadi slogan kempen dan bahan ucapan ramai pihak, Anifah sudah pun melangkah lebih jauh, beliau sudah bawa tuntutan MA63 ke Kabinet, bukan sekadar bercakap di luar,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Beliau mengulas susulan kenyataan calon Barisan Nasional (BN) DUN N10 Usukan, Datuk Seri Salleh Said Keruak yang menyelar gelombang pemimpin politik pelbagai parti yang didakwa ‘tiba-tiba’ menjadi hero memperjuangkan hak-hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Menurut Mohd Saidin, usaha tersebut bukan tindakan mudah memandangkan Anifah ketika itu merupakan seorang Menteri Persekutuan yang terikat dengan pelbagai tekanan politik termasuk surat tunjuk sebab yang pernah dikeluarkan terhadapnya ketika itu.
“Tapi beliau tetap memilih untuk bersuara kerana percaya rakyat Sabah berhak tahu kebenaran. Itu keberanian yang tidak semua pemimpin sanggup lakukan,” tegasnya.
Beliau turut mengingatkan laporan portal berita pada 12 Oktober 2018 yang merekodkan pendedahan Anifah bahawa tiada seorang pun menteri Sabah dalam Kabinet ketika itu sanggup tampil secara bersama memperjuangkan MA63.
“Itu realiti. Beliau bergerak seorang diri, bukan kerana mahu gelaran hero tetapi kerana ketika itu memang tidak ada siapa yang berani berkongsi risiko itu. Kita tidak boleh hapuskan fakta sejarah hanya kerana musim pilihan raya,” katanya.
Menurutnya, antara pencapaian penting Anifah ialah kejayaannya menyatukan tokoh-tokoh Sabah seperti bekas Ketua Menteri, Yong Teck Lee, Datuk Seri Jeffrey Kitingan, Ansari Abdullah dan aktivis serta pakar MA63, Allahyarham Zainnal Ajamain.
“Mereka semua berbeza ideologi dan latar politik tetapi Anifah berjaya membawa mereka duduk semeja demi MA63. Langkah begitu jarang berlaku dalam politik Sabah.
“Ia membuktikan kepimpinan beliau bukan hanya pada pentas, tetapi pada tindakan,” ujarnya.

Mengulas kembali satu majlis penting berkaitan MA63 yang pernah berlangsung, Mohd Saidin berkata, ramai pemimpin Sabah termasuk Salleh sendiri dijemput menghadirinya.
“Ramai menjangka beliau hadir kerana sering memberi pandangan mengenai hak Sabah. Namun akhirnya yang muncul ialah Anifah satu-satunya pemimpin kanan Sabah yang hadir dan bercakap secara terbuka, ketika beliau masih menjawat jawatan Menteri Persekutuan. Itu satu bentuk keberanian yang tidak boleh dinafikan,” katanya.
Beliau menambah, dalam konteks PRN Sabah ke-17, isu MA63 bukan medan untuk melabel siapa lebih layak digelar wira tetapi medan untuk rakyat menilai siapa mempunyai rekod paling konsisten dan paling awal mempertahankan autonomi Sabah.
“MA63 bukan isu kecil. Ia melibatkan hasil negeri, hak pendidikan, keselamatan dalaman dan kuasa Sabah terhadap minyak serta gas.
“Keputusan politik PRN kali ini akan memberi kesan langsung kepada rundingan besar seterusnya, termasuk tuntutan 40 peratus hasil yang masih tertangguh,” tegasnya.
Justeru, beliau menyeru agar perbincangan mengenai MA63 dilakukan dengan jujur dan berpandukan fakta tanpa menuding jari atau mengaitkan perjuangan ikhlas dengan musim pilihan raya.
“Kalau hari ini ramai pemimpin boleh bercakap lantang mengenai MA63, ia kerana laluan itu telah dibuka oleh seseorang yang sanggup memikul risiko ketika orang lain memilih senyap. Dan sejarah telah menulis nama itu dengan jelas, Tan Sri Anifah Aman. Jangan pura-pura lupa,” tegasnya. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:















