Lebih 30 penduduk Kg Papan, Pandamaran, Klang hadir himpunan bantahan di hadapan pejabat syarikat pemaju, Melati Ehsan Holdings Berhad di ibu negara hari ini.

KUALA LUMPUR – Kerajaan negeri dan syarikat pemaju, Melati Ehsan Holdings Berhad digesa untuk bertentang mata dengan penduduk Kampung Papan, Pandamaran, Selangor yang  menuntut keadilan dan hak susulan perobohan rumah mereka.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati, lebih 30 penduduk didakwa hadir, termasuk aktivis seperti AKSI, Parti Sosialis Malaysia(PSM), Gegar Amerika, Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), membuat bantahan di hadapan pejabat pemaju terbabit pada jam 10 pagi tadi yang turut dikawal anggota polis.

Suasana di lokasi kelihatan tegang namun terkawal dengan penduduk mengangkat sepanduk bertulis ‘Kerajaan Janji Kosong’, ‘Kami Mahu Rumah’, dan ‘Tiada Pampasan, Kami Tidak Pindah’.

Wakil penduduk Kg Papan, Pandamaran, Klang, Selangor.

Wakil penduduk, C. Thamil Valarasu, 57, melahirkan rasa terkilan dengan tindakan kerajaan negeri dan pemaju yang tidak ambil peduli nasib 27 rumah berpenghuni telah dirobohkan, mankala 44 lagi rumah masih belum disentuh dan sedang menunggu keputusan mahkamah.

“Sebelum ini, Menteri Besar Selangor maklum perobohan hanya melibatkan rumah yang sudah kosong sahaja, tapi pemaju aniaya kami, mereka mendakwa ikut arahan mahkamah bahawa perobohan itu meliputi semua kediaman termasuk yang masih ada penghuni serta masih dalam proses mahkamah.

“Kami bukan nak bergaduh atau tidak mahu keluar dari kampung itu, tapi kami persoalkan kenapa kerajaan negeri ‘berat sebelah’ dan tidak mahu berbincang dengan pemaju dan penduduk terlebih dahulu.

“Kami tidak minta rumah besar cuma minta pampasan rumah bersaiz 20×70 kaki persegi sahaja, itu pun mereka (pemaju) tidak boleh beri sebab mereka tahu lokasi  ini ’emas’ yang mana harga hartanah untuk satu kaki persegi bersamaan RM450,” katanya pada pemberita.

Lebih 30 penduduk Kg Papan, Pandamaran, Klang hadir himpunan bantahan di hadapan pejabat syarikat pemaju, Melati Ehsan Holdings Berhad di ibu negara hari ini.

Dalam pada itu, Thamil yang sudah menetap lebih 48 tahun di Kampung Papan memberitahu bahawa ramai penduduk asal kawasan itu membeli serta membina rumah dengan kos sendiri di atas tanah tersebut yang sudah diteroka sejak puluhan tahun lalu.

“Mereka sepatutnya tawarkan pampasan atau rumah gantian yang setara kerana itu tanah kami yang teroka dan bukannya tempat mereka,” ujarnya.

Timbalan Pengerusi Persatuan Penduduk, Teoh Ah Guat.

Timbalan Pengerusi Persatuan Penduduk, Teoh Ah Guat, 63, pula menggesa kerajaan negeri mengambil tindakan terhadap pemaju kerana merobohkan rumah berpenghuni dan menjelaskan penduduk hanya menuntut pampasan dan penempatan semula seperti yang dijanjikan Menteri Besar sebelum ini.

“Kami sedih kerajaan tidak mahu membantu kami. Mana kuasa kerajaan?” luahnya.

Perhimpunan hari ini merupakan kesinambungan beberapa siri bantahan terdahulu, termasuk di hadapan bangunan pentadbiran kerajaan negeri di Shah Alam dan di depan Bank Negara.

Pada 20 Mac lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan 44 penduduk menggantung perintah pengusiran sehingga rayuan didengar di Mahkamah Rayuan. Mahkamah dijangka menentukan status 44 rumah itu pada 8 Disember depan.

Pada 23 Oktober, kerajaan negeri memaklumkan hanya rumah kosong dan premis perniagaan akan dirobohkan namun, pada 27 Oktober, penduduk menerima notis baru mengarahkan mereka mengosongkan rumah masing-masing sebelum kerja-kerja perobohan dilakukan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast