PAPAR – Isu tiga serangkai termasuk bekalan air, elektrik dan jalan raya dijangka menjadi teras Manifesto Barisan Nasional (BN) yang akan dilancarkan pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi esok.
Ahmad Zahid berkata, perincian Manifesto BN akan dibentangkan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin di bangunan Badan Perhubungan UMNO Sabah, Kota Kinabalu.
“Manifesto yang akan dilancarkan esok di mana perinciannya akan dihamparkan oleh Ketua UMNO Sabah dan Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.
“Perincian antara lain adalah untuk Bikin Balik Sabah, ertinya masalah tiga serangkai yang menjadi permasalahan selama ini.
“Begitu juga daripada segi pelaburan, perumahan untuk keluarga muda, pelancongan dan juga aspek-aspek lain,” katanya ketika ditemui pemberita di sini malam ini.
Terdahulu Ahmad Zahid melancarkan program Sentuhan Kasih Desa@Papar di Dewan Kelab Mont Elkay Lok Kawi Height, Kinarut, di sini.

Ahmad Zahid juga berkata, Manifesto BN Sabah bakal memberi fokus untuk menangani masalah pengangguran dalam kalangan anak-anak muda di negeri itu.
“Sabah agak ketinggalan di mana kira-kira 17 peratus dalam kalangan anak-anak muda yang berjumlah 165,000 orang adalah penganggur.
“Jadi dalam manifesto itu akan mengesyorkan beberapa kaedah supaya pengangguran di Sabah ini dikurangkan. Ini kerana satu dari lima pengangguran itu berada di Sabah,” katanya.
Jelas Ahmad Zahid, antara kaedah penyelesaian isu pengangguran di Sabah melalui ekosistem pendidikan baharu melalui Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Kebetulan saya juga Pengerusi Majlis TVET Negara dan Insya-Allah pendidikan TVET ini akan ditekankan di Sabah dan kita mahu anak-anak Sabah biarlah kerja di Sabah.
“Kita wujudkan industri melalui pelaburan yang akan dibawa ke Sabah ini dan mudah-mudahan mereka dapat membantu keluarga yang ada di Sabah.
“Ini kerana terdapat lebih dari 300,000 yang berada di Pasir Gudang dan begitu juga jumlahnya lebih dari 250,000 berada di Lembah Klang.
“Saya fikir ini tenaga kerja yang boleh membangunkan Sabah dan potensinya cukup baik. Itu sebabnya manifesto BN ini akan memberikan penekanan terhadap aspek-aspek yang sangat diperlukan untuk rakyat Sabah,” katanya.
Ditanya mengenai kelewatan pelancaran Manifesto BN sedangkan tempoh berkempen sudah seminggu berlalu, Ahmad Zahid berkata, ia sebenarnya sudah disiapkan sebelum hari penamaan calon.
“Saya minta ia ditangguhkan kerana apabila hari kempen telah bermula seminggu, jadi orang mahu tahu tentang manifesto kita.
“Walaupun telah disiapkan sebelum hari penamaan calon tetapi dari segi masanya adalah cukup baik kerana Sabtu (media) akan memberikan liputan lebih baik untuk media bercetak pada hari minggu dan berita perdana pada malam minggu.
“Adalah lebih baik kita pilih dari segi strategi media,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















