SOOK – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bercadang menjadikan Keningau hab pengeluar padi bukit/huma utama di Sabah bersesuaian dengan kesuburan tanah di daerah itu.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kerajaan mahu melihat penanaman padi bukit di daerah tersebut beralih ke tahap yang lebih tinggi bukan sekadar untuk kegunaan sendiri tetapi mampu dikomersialkan sebagai beras premium.
“Lawatan saya ke Projek Tanaman Padi Luar Jelapang di Kampung Biah adalah manifestasi keseriusan kerajaan untuk memperkasakan infrastruktur pengairan dan sokongan di kawasan ini.
“Saya yakin, dengan gandingan usaha pesawah di Sook dan Keningau bersama teknologi moden, kita mampu menjadikan daerah ini sebagai gedung jaminan makanan yang baharu,” katanya dalam Program Libat Urus Bersama Peladang, Penternak dan Nelayan Daerah Sook di sini.
Pada pertemuan itu, Mohamad turut melancarkan Bantuan Subsidi Input Skim Baja & Racun Padi Bukit/Huma (SBRPB) bagi pembekalan tahun 2025 yang merupakan antara inisiatif utama kerajaan dalam meningkatkan produktiviti padi bukit, sekali gus mengukuhkan keterjaminan makanan negara.
Di bawah skim subsidi itu, katanya, kerajaan memperuntukkan RM42 juta bagi musim penanaman 2025 untuk membekalkan baja sebatian Padi 4, baja urea cecair dan tambahan RM11.4juta bagi racun rumpai cecair.
“Ini bukti kebersamaan kita memastikan para pesawah tidak terbeban dengan kos input yang semakin meningkat,” katanya.

Menurut Mohamad, skim subsidi tersebut dijangka memberi manfaat kepada 44,000 hektar kawasan tanaman padi bukit di Sabah dan Sarawak, dengan melibatkan lebih 32,000 penerima.
Katanya, agihan dibantu melalui kerjasama strategik dengan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) sebagai pengendali utama yang bertanggungjawab menyelaraskan dari peringkat pembekalan sehingga pengagihan baja dan racun kepada penanam padi bukit yang layak menerima bantuan.
Mohamad dalam ucapannya turut menegaskan kerajaan sentiasa komited memperkasa sektor agromakanan Sabah, khususnya penanaman padi huma yang menjadi sumber makanan penting komuniti luar bandar.
Katanya, Sabah bukan sahaja terkenal dengan keindahan alam tetapi berpotensi sebagai “Periuk Nasi” baharu negara, khususnya melalui penanaman padi antaranya padi bukit atau padi huma.
“KPKM menyedari bahawa di Sabah, penanaman padi bukit masih dilaksanakan secara tradisi turun-temurun. Justeru, dasar kementerian kini tidak hanya tertumpu di kawasan jelapang padi utama di Semenanjung, tetapi kita memperkasakan kawasan Luar Jelapang termasuk di seluruh negeri Sabah.
“Kita mahu memastikan penanaman padi bukit ini beralih daripada sekadar sara diri kepada skala yang lebih komersial dan berproduktiviti tinggi,” katanya.
Beliau berkata, Sabah mempunyai potensi besar untuk menjadi salah satu lokasi pengeluaran padi utama negara, selain kawasan jelapang tradisional di Semenanjung.
“Di Sabah, penanaman padi bukit bukan sekadar tradisi, tetapi aset keselamatan makanan negara. Kita mahu ia berkembang daripada sekadar sara diri kepada tanaman komersial berproduktiviti tinggi,” jelas beliau.
Beliau menyifatkan lawatan ke Sook dan Keningau sebagai tanda jelas bahawa peladang Sabah tidak akan dipinggirkan dalam arus pembangunan negara.

Mohamad turut meninjau projek Tanaman Padi Luar Jelapang di Kampung Biah berikutan usaha menaik taraf kawasan Empangan Air di Kampung Biah Skim Satu dan pembangunan di Skim Dua.
Selain pengumuman subsidi, program tersebut turut dimeriahkan dengan Jualan Agro Madani oleh Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) yang menawarkan penjimatan sehingga 30 peratus lebih rendah daripada harga pasaran.
Mohamad berkata inisiatif seperti Ziarah Kasih Agro Madani akan terus digerakkan agar tiada golongan sasar tercicir daripada perhatian kerajaan.
Turut hadir, Timbalan Menteri KPKM, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup; Pengerusi LPP, Datuk Mahfuz Omar, Ketua Pengarah LPP, Amir Matamin, dan Pengurus Besar NAFAS, Muhammad Faris Arriffin. – MalaysiaGazette
















