KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Pas Perlis (DPPNPs) mengecam sekeras-kerasnya tindakan melampau Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) yang menyunting gambar Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin dengan cara yang disifatkan tidak beradab.
Sambil menuntut permohonan maaf, Ketuanya, Haziq Asyraf Dun berkata, perbuatan itu membuktikan DAPSY semakin hilang arah dan pertimbangan, serta sanggup merendahkan martabat politik negara demi memenuhi nafsu politik sendiri.
Menurut beliau, suntingan gambar yang menjatuhkan maruah seseorang ulama adalah perbuatan yang tidak boleh diterima sama ada dari sudut moral, budaya, mahupun politik.
“Inilah cerminan sebenar budaya politik DAPSY yang lebih cenderung kepada menghina, mengejek, dan mengaibkan, dan bukannya menumpukan kepada perbahasan bernas atau usaha menyelesaikan isu-isu rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Haziq Asyraf, dalam sebuah negara yang semakin matang politiknya, tindakan seperti itu bukan sahaja memalukan, malah memperlihatkan betapa rendahnya tahap ketamadunan politik DAPSY.
Katanya, daripada bertindak sebagai gerakan anak muda yang progresif, DAPSY memilih tingkah laku kebudak-budakan yang hanya menghakis kredibiliti sendiri.
Dalam masa sama, ujar beliau, Pas melalui konsep budaya politik matang dan sejahtera (BPMS) sentiasa menekankan bahawa politik mesti dibina atas asas adab, dialog sihat dan penghormatan terhadap lawan.
“Tindakan seperti suntingan menghina ini jelas bertentangan dengan prinsip BPMS yang mengajak semua pihak berpolitik secara berakhlak, berfakta dan bertanggungjawab demi kesejahteraan rakyat dan negara,” katanya.
Sementara itu, beliau turut menyifatkan tindakan provokatif tersebut tidak lebih daripada cubaan terdesak untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada isu-isu tadbir urus, kelemahan kepimpinan, dan aduan rakyat di Sabah yang masih gagal ditangani.
Jelasnya, apabila gagal membetulkan kelemahan sendiri, DAPSY memilih untuk menyerang pihak lain dengan cara paling kotor.
“DPPN Perlis menegaskan bahawa politik penghinaan tidak membawa sebarang nilai kepada demokrasi atau pembangunan negara.
“Sebaliknya, ia menjadikan DAPSY beban kepada landskap politik Malaysia sebagai sebuah kumpulan yang lebih minat mencetuskan kontroversi daripada memperjuangkan masa depan rakyat,” katanya.
Sementara itu, semakan MalaysiaGazette di laman sosial Facebook Ketua DAPSY Kebangsaan, Woo Kah Leong mendapati, poster yang menampilkan Hashim dalam keadaan berbaring dan berselimut bersama sebuku roti tersebut masih belum diturunkan. – MalaysiaGazette
















