Isteri kepada bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim, Toh Puan Na'imah Abdul Khalid tiba di perkarangan mahkamah bagi sebutan kes pertuduhan gagal mengisytiharkan harta di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 14 MEI 2025. (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 3 Februari tahun depan bagi mendenqar permohonan Toh Puan Na’imah Abdul Khalid untuk merangka persoalan undang-undang berkaitan pertuduhan yang dihadapinya, sebelum dirujuk ke Mahkamah Persekutuan.

Permohonan itu akan didengar di hadapan hakim berlainan, Datuk Mohd. Arief Emran Arifin selepas Hakim K. Muniandy yang sepatutnya mendengar permohonan itu, dinaikkan pangkat ke Mahkamah Rayuan.

Pada 8 Oktober lalu, Hakim Muniandy memaklumkan prosiding bagi merangka persoalan undang-undang untuk menentukan kesahihan pertuduhan gagal mengisytiharkan harta yang dihadapi Na’imah, akan diteruskan di hadapan hakim berlainan.

Hakim Mohd. Arief Emran turut mencadangkan pihak-pihak untuk merangka dahulu persoalan undang-undang tersebut sebelum dimajukan kepada beliau.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How memaklumkan, pendakwaan mahukan agar pihak-pihak berhujah terlebih dahulu sebelum persoalan undang-undang dirumuskan.

Bagaimanapun, peguam Datuk Dr. Gurdial Singh Nijar pula berhujah, hakim berkenaan boleh menapis soalan yang dirangka sebelum merujuknya kepada Mahkamah Persekutuan.

Pada 10 November lalu, pihak pendakwaan mahukan supaya Mahkamah Tinggi berlainan mendengar permohonan Na’imah untuk merangka lapan persoalan undang-undang sebelum dirujuk ke Mahkamah Persekutuan.

Permohonan balu bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin itu sepatutnya didengar di hadapan Hakim Muniandy.

Sementara itu, dalam prosiding berlainan di Mahkamah Sesyen, Hakim Azura Alwi menetapkan tarikh sama (3 Februari 2026) untuk sebutan kes bagi mengemas kini status permohonan itu di Mahkamah Tinggi.

Na’imah memohon mahkamah membentuk persoalan undang-undang yang menyentuh isu perlembagaan antaranya hak individu untuk berdiam diri dan tidak dipaksa mengemukakan keterangan yang boleh digunakan untuk mensabitkannya dalam suatu prosiding.

Na’imah, 68, dituduh sengaja mengabaikan atau gagal mematuhi terma-terma suatu notis bertarikh 8 November 2023 yang dikeluarkan di bawah Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM.

Pada 23 Januari 2024, Na’imah didakwa atas tuduhan gagal mematuhi notis agar mengisytiharkan hartanya termasuk Menara Ilham serta beberapa aset lain.

Na’imah didakwa sengaja memberikan satu pernyataan bertulis secara bersumpah yang tidak mematuhi terma notis bawah Seksyen 36(1)(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 bertarikh 8 November 2023.

Notis itu dihantar kepada tertuduh oleh seorang Pesuruhjaya SPRM pada 14 November tahun sama.

Harta itu membabitkan Ilham Tower Sdn. Bhd., Ilham Baru Sdn. Bhd., dua Mercedes-Benz, lapan hartanah, sebuah kediaman di Bukit Tunku, enam bangunan, lot tanah di Taman Tunku dan Bukit Tunku, Jalan Cantoment Road, Pulau Pinang serta Jalan Anthinahapan, Taman Tun Dr. Ismail di sini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast