KUALA LUMPUR – Pasukan Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya mematahkan cubaan menyeludup minyak masak paket menerusi pengkalan haram Paija, Pengkalan Kubor, dalam operasi Op Taring Wawasan Kelantan, semalam.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, anggota PGA menemui beberapa kotak mencurigakan yang ditinggalkan di kawasan terbabit ketika rondaan yang dijalankan jam 8.15 malam.
“Pemeriksaan lanjut menemukan sebanyak 170 paket minyak masak yang disyaki cuba diseludup keluar ke Thailand.” katanya
Menurut PGA, taktik penyeludupan menggunakan laluan tikus seperti di pengkalan haram itu kerap digunakan sindiket bagi mengaburi pihak berkuasa, terutama ketika waktu malam.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM425,” ujarnya
Menurut Ahmad Radzi, barang rampasan tersebut diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Kelantan untuk tindakan lanjut.
Tambah beliau, kes kini disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana cubaan menyeludup barang kawalan tanpa kebenaran. – Malaysiagazette
















