PENAMPANG – Naib Presiden PKR, Datuk Seri R Ramanan menyifatkan calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.26 Moyog, Remysta Jimmy Taylor berpotensi mencipta kejutan.
Beliau berkata, Remysta merupakan calon muda yang diketengahkan PKR mampu menawan kerusi Moyog meskipun berhadapan saingan sengit 12 penjuru.
“Remysta mempunyai kekuatan tersendiri dan tidak mustahil akan memberi kemenangan buat PH.
“Saya bersyukur kerana calon Moyog ini bukan anak Sabah, bukan anak Penampang tetapi anak Moyog.
“Dia lahir di Moyog, membesar di Moyog dan belajar di Moyog. Kalau calon Penampang, tapi belajar di luar negara 10 tahun buat apa,” katanya ketika ditemui di program walkabout dan masa beramah mesra bersama penduduk dan jentera parti di Tamu Desa Babagon di sini, hari ini.

Ramanan juga dilihat sentiasa memberikan suntikan semangat kepada Remsyta.
“Kebiasaannya pimpinan parti yang turun membantu akan memperkenalkan calon, tetapi di Moyog sebaliknya.
“Remysta dikenali bukan kerana ahli politik, tetapi dirinya dan sentiasa berkhidmat di kawasan sendiri, itu lebih baik.
“Saya yakin pengundi di Moyog mahukan perubahan dan ini sedang kita usahakan,” katanya.
Ketika ditanya apakah itu menjadi keyakinan untuk menawan Moyog, Raman yang juga merupakan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, usaha PH sedang ke arah itu.
“Kami sedang menuju ke situ (menang), tapi politik ini tak boleh cakap.
“Kita kena bekerja keras, dalam tempoh 24 jam saja boleh berubah, tapi bukanlah tak yakin cuma saya kira semua orang nak menang,” katanya.
Jelasnya, berbaki tempoh sembilan hari, seluruh jentera PH akan berusaha untuk memastikan calon Moyog akan memberi kemenangan buat PH. – MalaysiaGazette
















