JOHOR BAHRU – Kerajaan tidak harus memanipulasi data inflasi dengan angka positif kerana realitinya berlawanan dengan kehidupan sebenar rakyat.
Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor, Suraya Sulaiman berkata, data inflasi yang diberikan menimbulkan persoalan sama ada menipu rakyat kerana tidak selari dengan beban dan kos sara hidup dirasai masa kini.
“Isu ini semakin hangat dibincangkan apabila kadar inflasi rasmi negara dilaporkan hanya 1.5 peratus pada September 2025 direndahkan oleh index barangan bukan keperluan makanan, sedangkan rakyat di seluruh negara termasuk Johor terus berdepan kenaikan harga barangan asas serta peningkatan kos sara hidup yang ketara.
“Angka inflasi rasmi sememangnya penting sebagai indikator ekonomi, namun ia tidak semestinya mampu menggambarkan realiti yang dirasai rakyat setiap hari.
“Di pasar, kedai runcit dan kawasan luar bandar, harga makanan, barangan harian, penjagaan diri dan sewa rumah terus menunjukkan peningkatan yang menekan golongan B40 dan M40, walaupun statistik kelihatan stabil.
“Inilah jurang antara data dan kehidupan sebenar yang perlu diberikan perhatian serius oleh pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mendakwa data inflasi yang diberikan Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM) ‘tidak sama dengan realiti’.
“Apabila kita menyebut kadar inflasi 1.9 peratus, tanyalah rakyat sama ada harga roti john atau murtabak telah meningkat atau tidak? Saya harus mengakui dengan rendah hati ia telah meningkat,” ujar Ka Siong.
Mengulas lanjut, Suraya berkata, keadaan sebenar keluarga berpendapatan sederhana dan rendah di Johor melaporkan tekanan kos lebih berat berbanding angka yang dipaparkan dalam Indeks Harga Pengguna (CPI).
Jelas beliau, subsidi kerajaan yang sedia ada pula tidak mencukupi untuk menampung kenaikan harga yang berlaku secara berterusan, khususnya bagi barangan yang tidak termasuk dalam kawalan harga.
Selain itu katanya, komposisi CPI yang merangkumi ratusan barangan sering menyebabkan kenaikan ketara dalam kategori tertentu tidak benar-benar ‘terlihat’ pada purata keseluruhan inflasi.
Rakyat yang tinggal di kawasan luar bandar atau kawasan berpendapatan rendah ujarnya, menanggung kesan lebih besar kerana akses kepada harga murah, pasar besar dan rantaian bekalan yang efisien jauh lebih terbatas berbanding bandar-bandar utama.
Pejuang Johor kata Suraya, berpandangan bahawa jurang antara statistik dengan tekanan hidup rakyat perlu ditangani melalui tindakan segera dan lebih objektif.
“Antara cadangan kami ialah pelaksanaan audit harga barangan asas di seluruh negeri Johor, khususnya di kawasan luar bandar, bagi mendapatkan gambaran sebenar kos sara hidup rakyat setempat,” katanya.
Begitu juga katanya, kerajaan wajar melaksanakan reformasi rantaian bekalan untuk mengurangkan kos logistik yang menyebabkan harga meningkat sebelum sampai ke pengguna.
“Pejuang turut mencadangkan supaya modul literasi ekonomi dan inflasi diperkenalkan secara lebih meluas agar rakyat memahami bagaimana inflasi berfungsi serta cara mengurus perbelanjaan dengan lebih efektif dalam keadaan ekonomi mencabar.
“Pejuang Johor percaya bahawa isu inflasi bukan soal persepsi politik, tetapi soal kejujuran data dan keprihatinan terhadap beban rakyat,” jelasnya.
Sehubungan itu pihaknya menyeru agar kerajaan memberi perhatian lebih besar kepada jurang tersebut dan mengambil langkah yang lebih berfokus kepada kesejahteraan rakyat, bukan sekadar bergantung pada angka statistik di atas kertas.
“Rakyat sedang tertekan dan mereka berhak memperoleh penjelasan serta tindakan yang lebih telus, adil dan berkesan,” tambahnya.
Mengenai kenyataan Kementerian Kewangan (MoF) yang menjangkakan kadar inflasi 2025 berada antara 2 hingga 3.5 peratus, beliau mendakwa itu bukan data sebenar.
“Ini unjuran, bukan data sebenar, ramalan boleh meleset dan menimbulkan keraguan jika realiti harga barang naik lebih cepat dari jangkaan rakyat,” katanya lagi.- MalaysiaGazette
















