KOTA KINABALU – Calon Perikatan Nasional (PN) DUN N.35 Sindumin, Dayang Syafiqah Abdul Hamid berkongsi pengalaman peribadi yang menyentuh hati sebagai asas tuntutannya untuk reformasi dasar pendidikan luar bandar Sabah.

Dayang Syafiqah berkata, pendidikan di pedalaman tidak boleh lagi bergantung semata-mata kepada semangat pelajar, tetapi memerlukan penyelesaian dasar yang adil dan inklusif.

“Saya pernah berkhidmat sebagai guru ganti selama hampir tiga bulan di beberapa sekolah luar bandar seperti SK Kelangsat, SK Merintaman, dan SK Pekan, pada usia awal 20-an.

“Pengalaman ini membuka mata saya tentang realiti yang jarang disebut di peringkat dasar.

“Sepanjang mengajar, saya melihat secara dekat bagaimana kemiskinan, akses pendidikan yang terhad, serta kekurangan kemudahan asas menjadi penghalang kepada potensi pelajar,” katanya dalam satu kenyataan.

Dayang Syafiqah mahukan perubahan dilakukan khusus kepasda pendidikan di luar bandar terutama kawasan pedalaman.

Menceritakan detik pernah menumpangkan pelajar di dalam kereta hampir setiap pagi, kisah ini menjadi peringatan jelas bahawa jarak bukan penghalang, tetapi ia adalah cabaran besar yang perlu ditangani melalui dasar.

“Ramai dalam kalangan murid di pedalaman perlu berjalan jauh setiap hari untuk ke sekolah.

“Saya percaya pendidikan luar bandar memerlukan penyelesaian tersusun, termasuk peningkatan kemudahan asas, penambahan tenaga pengajar, akses yang sama rata kepada peluang pendidikan berkualiti seperti pelajar di bandar.

“Sebagai calon muda, saya ingin menjadi suara yang membawa pengalaman sebenar di bilik darjah ke dalam perbincangan dasar,” katanya.

Jelasnya, masa depan Sabah bergantung kepada bagaimana pengukuhan pendidikan anak-anak hari ini tanpa mengenal latar belakang atau lokasi mereka. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast