Anggota bomba melakukan pemeriksaan selepas kebakaran dapat dikawal dalam kejadian di sebuah bilik dalam kedai di pekan Kukup, Pontian, malam tadi.

PONTIAN – Seorang lelaki melecur dalam kebakaran di sebuah bilik dalam kawasan lot kedai bertingkat di pekan Kukup di sini malam tadi.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Baru Pontian, Pegawai Bomba Kanan I Muhammad Nasiruddin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pukul 12.06 tengah malam.

Susulan itu katanya, seramai 11 anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan sebuah pacuan empat roda jenis Hilux dikejarkan ke tempat kejadian yang jaraknya 3 kilometer.

“Kebakaran melibatkan bilik dalam kedai di tingkat satu yang berkeluasan 15 X 15 kaki. Kebakaran telah memusnahkan 50 peratus keseluruhan bilik tersebut.

“Terdapat seorang mangsa iaitu seorang lelaki berusia 50-an melecur 20 peratus iaitu di tangan kanan dan kiri tahap dua,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, mangsa dihantar ke hospital dengan menaiki jentera EMRS untuk menerima rawatan.

Operasi pemadaman katanya, menggunakan sumber air dari pam jentera dan pili bomba sehingga berjaya dikawal pada pukul 12.59 tengah malam.

Tambahnya, punca kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan manakala operasi tamat pukul 2 pagi tadi.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast