KUALA LUMPUR – Malaysia dipilih sebagai lokasi pelancaran audio mega filem Jana Nayagan selepas bintang ternama India Selatan, Vijay memberi bersetuju dengan tawaran Ketua Pegawai Eksekutif Malik Streams Corporation, Datuk Abdul Malik Dasthigeer.
Bercakap kepada MalaysiaGazette, Abdul Malik mendedahkan pertemuan pada awal Mac lalu pada mulanya bertujuan untuk menawarkan kerjasama menghasilkan sebuah filem untuk Vijay namun aktor itu menolak kerana Jana Nayagan akan menjadi filem terakhirnya sebelum memberi tumpuan penuh kepada politik.
Tidak mahu pulang dengan tangan kosong, Malik memohon agar sekurang-kurangnya pelancaran audio filem berkenaan diberi peluang untuk diadakan di Malaysia
Permintaan itu terus dipersetujui pelakon popular itu yang memilik ratusan juta peminat seluruh dunia tanpa berfikir panjang.
“Untuk anda, untuk semua peminat di Malaysia. Ya, kita buat pelancaran di Malaysia,” kata Vijay kepada Malik.

Keputusan itu membuka jalan kepada acara hiburan Asia Selatan terbesar tahun ini yang akan berlangsung pada 27 Disember depan di Stadium Nasional Bukit Jalil yang dijangka menghimpunkan lebih 85,000 peminat, menjadikannya perhimpunan peminat Vijay terbesar di luar India.
Thalapathy Thiruvizha selama 10 jam itu akan menampilkan lebih 30 penyanyi, persembahan secara langsung oleh pengarah muzik sensasi Anirudh Ravichander, kemunculan artis-artis India dan Malaysia serta lebih 40 lagu dari filem-filem Vijay termasuk runut bunyi daripada filem ke-69 beliau, Jana Nayagan.
Menurut Abdul Malik, Malaysia dipilih bukan sekadar atas faktor logistik tetapi kerana negara ini mempunyai komuniti peminat Vijay terbesar di dunia di luar India selain potensi besar impak ekonomi dan pelancongan.
Beliau berkata, rancangan awal produksi adalah mengadakan pelancaran audio di Dubai namun beliau berjaya meyakinkan mereka Malaysia merupakan destinasi yang lebih tepat dan Vijay sendiri bersetuju.
“Anda tahu, saya sentiasa teruja apabila dapat melakukan ini untuk peminat khasnya di negara ini. Malaysia sentiasa jadi tumpuan dunia dan saya amat bangga Malik Streams dapat melakukannya,” ujarnya.
Difahamkan, acara itu akan disiarkan ke seluruh dunia melalui satelit dan platform digital sekali gus meletakkan Kuala Lumpur sebagai hab utama hiburan Asia Selatan serta memberi limpahan awal menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
Untuk makluman juga, Vijay yang kini melancarkan kerjaya politiknya melalui parti Tamilaga Vettri Kazhagam (TVK) telah diumumkan sebagai calon Ketua Menteri Tamil Nadu bagi pilihan raya negeri 2026.
Kehadirannya di Bukit Jalil dijangka menjadi antara penampilan terakhir beliau dalam acara berkaitan filem sebelum beralih sepenuhnya ke politik.
Malik Streams Corporation turut memperoleh hak pengedaran filem Jana Nayagan, terbitan KVN Productions, yang dijadual ditayangkan di Malaysia bermula 9 Januari 2026. Filem itu dibintangi Vijay bersama Pooja Hegde dan Bobby Deol. -MalaysiaGazette















