Tangkap layar klip video tular penampakan harimau belang di Jerantut semalam. Sumber : Bantalku Channel

KUANTAN – Seorang lelaki berdepan detik cemas selepas mendakwa bertembung dengan ‘Pak Belang’ di jalan masuk ke Kampung Bantal, Jerantut kira-kira jam 7 petang semalam.

Menerusi satu klip video berdurasi 2 minit 11saat di laman Facebook Bantalku Channel, lelaki dikenali sebagai Ramlan Dabok berkata, ketika kejadian dia menaiki motosikal lalu di kawasan tersebut.

“Dekat betul, selepas selekoh terus nampak dia tepi jalan. Besar betul. Terkejut saya, terus pecut turun bukit tu. Lepas tu dia (harimau) terus turun ke kawasan semak tepi jalan tu. Kalau perlahan tadi, tak tahu lah,” katanya.

Sebelum itu, penduduk di enam Kampung Hulu Tembeling, Jerantut mendakwa sering terserempak harimau belang berkeliaran di kawasan berkenaan sejak seminggu lepas.

Difahamkan, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia telah dimaklumkan mengenai kejadian itu.

Namun sehingga berita ini ditulis, MalaysiaGazette masih belum dapat menghubungi pihak Perhilitan bagi mendapatkan maklumat lanjut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast