KUANTAN – Seorang penunggang motosikal maut selepas terbabit kemalangan dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di kilometer 7, Jalan Lipis-Benta, Kampung Salang, Lipis, tengah malam semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Ismail Man, dalam kejadian jam 12.20 pagi itu, mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Jelai, Kuala Lipis daripada rumah saudaranya di Kuala Lipis.
“Hasil siasatan awal, polis mendapati pemandu SUV bersama isteri dan anaknya dari arah Kuala Lumpur menuju ke rumahnya di Kampung Berchang, Kuala Lipis.
“Apabila sampai di tempat kejadian, SUV itu telah bertembung dengan motosikal ditunggang mangsa yang datang dari arah bertentangan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Jelas Ismail, akibat kemalangan itu, penunggang motosikal bernama Krisnamurthi a/l Kumaran, 31 disahkan meninggal dunia ditempat kejadian.
Manakala pemandu SUV yang berusia 58 tahun mengalami kecederaan parah di bahagian lengan sebelah kanan dan mata kanannya.
“Isterinya berusia 50 tahun yang merupakan penumpang hadapan SUV itu mengalami kecederaan parah di bahagian tangan kanan dan anak mereka berusia sembilan tahun yang duduk di kerusi belakang tidak mengalami kecederaan,” tambahnya.
Beliau berkata, mangsa yang cedera telah dihantar ke Hospital Kuala Lipis untuk menerima rawatan lanjut.
Ismail berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan beliau meminta kerjasama mana-mana pihak yang menyaksikan kejadian agar tampil membantu siasatan.
“Seluruh warga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis mengucapkan salam takziah kepada keluarga mangsa,” katanya. – MalaysiaGazette
















