Calon Barisan Nasional Sulaman, Dr. Shahnon Rizal Thaijudin berucap pada Himpunan Anak muda Bikin Balik Sabah sempena Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 di Tambalan, Sabah. Foto MOHD ADZLAN, 22 NOVEMBER 2025.

TUARAN – Sudah tiba masanya wakil rakyat dalam kalangan anak muda diberi mandat di kerusi N12 Sulaman kerana lebih memahami rintihan rakyat mahu isu tiga serangkai dinoktahkan.

Calon Barisan Nasional (BN) N12 Sulaman, Dr. Shahnon Rizal Thaijudin berkata, walaupun enggan menyalahkan mana-mana pihak termasuk Datuk Seri Hajiji Noor, namun beliau yakin hanya anak muda boleh menyelesaikan isu infrastruktur itu.

“Kamu pernah sunat budak tiba-tiba tiada elektrik? Saya pernah. Kamu pernah sedap-sedap mandi tiba-tiba tiada air, semua pernah, jadi itulah rintihan sebenar yang sedang kita alami.

“Kita jangan sesekali menyalahkan sesiapa, tidak apa, mungkin mereka sudah buat yang terbaik untuk zaman dan waktu mereka.

“Sebab inilah zaman kita, inilah masa kita, untuk kita tindak balasnya, dan yang pastinya kerana kita ini orang muda, makanya rintihan orang muda saya faham, kerana saya juga orang muda baru tiga siri,” katanya berucap pada Himpunan Anak Muda Bikin Balik Sabah di PDM Tambalang, di sini, malam ini.

Turut hadir, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh.

Calon Barisan Nasional Sulaman, Dr. Shahnon Rizal Thaijudin beramah mesra bersama penduduk pada Himpunan Anak muda Bikin Balik Sabah sempena Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 di Tambalan, Sabah. Foto MOHD ADZLAN, 22 NOVEMBER 2025.

Dr Shahnon menegaskan, pendekatan ahli politik yang kerap kali menjanjikan bulan dan bintang bukan lagi sesuai dijadikan taruhan kerana anak muda lebih cenderung kepada pelaksanaannya.

“Saya adalah doktor, andai kata diberikan mandat oleh Allah, diangkat menjadi wakil rakyat, saya tidak mahu mulut saya banyak bercakap, tapi biarlah tangan dan kaki saya itu tunjukkan sendiri.

Calon Barisan Nasional Sulaman, Dr. Shahnon Rizal Thaijudin beramah mesra bersama penduduk pada Himpunan Anak muda Bikin Balik Sabah sempena Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 di Tambalan, Sabah. Foto MOHD ADZLAN, 22 NOVEMBER 2025.

“Masa telah berubah, cara telah berubah, cara kita cara baharu, tidak ada istilah Yang Berhormat, cuma ada Yang Berkhidmat.

“Saya tidak mahu cakap panjang-panjang, buat bangunan tinggi-tinggi, tak mahu cerita bulan dan bintang, tapi kita mahu pastikan perkara asas seperti infrastruktur jalan raya, talian telefon, elektrik, air, semua ini mesti kita perbaiki,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast