KUALA LUMPUR – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) memberi jaminan kesiapsiagaan anggota serta aset operasi di seluruh Kelantan berada pada tahap optimum bagi menghadapi sebarang kemungkinan peningkatan paras air dan kejadian banjir sepanjang musim tengkujuh.
APM dalam kenyataan memaklumkan, seramai 1,205 anggota telah diaktifkan setakat ini, termasuk pasukan tambahan dari negeri berhampiran yang siap digerakkan pada bila-bila masa.
Turut berada dalam keadaan siap siaga katanya, 91 aset darat dan air merangkumi bot pelbagai jenis, ambulans, lori pelbagai guna, kenderaan pacuan empat roda, dron pemantauan serta peralatan menyelamat di air.
“APM menegaskan bahawa keutamaan pasukan ketika ini adalah memastikan keselamatan rakyat di kawasan dikenal pasti berisiko tinggi.
“Operasi pemantauan cuaca, paras air sungai dan kawasan cerun turut dipertingkatkan menerusi kerjasama rapat dengan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) yang beroperasi 24 jam,” katanya.
Menurut APM, langkah mandatori dan tindakan proaktif turut diambil dengan mengaktifkan awal Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) di semua daerah berisiko termasuk Pasir Mas, Tumpat, Kuala Krai, Tanah Merah dan Bachok.
Turut dilakukan kata agensi itu, rondaan berkala menggunakan aset darat dan air di kawasan sering berdepan banjir serta melaksanakan hebahan maklumat terkini melalui media sosial rasmi APM serta kerjasama dengan agensi pengurusan bencana lain.
APM turut menasihatkan penduduk di kawasan rendah dan berhampiran sungai supaya sentiasa peka dengan arahan pihak berkuasa dan tidak mengambil mudah situasi cuaca semasa, selain segera berpindah jika keadaan mulai berbahaya.
“Orang awam dinasihatkan mengelak mengambil risiko menyeberangi kawasan banjir, mengutamakan keselamatan keluarga terutama kanak-kanak dan warga emas, mematuhi arahan pemindahan serta panduan keselamatan yang dikeluarkan pihak berkuasa serta menyediakan beg kecemasan yang mengandungi keperluan asas serta dokumen penting selain menghubungi talian 999 jika memerlukan bantuan kecemasan.
APM menegaskan, komitmen penuh diberikan bagi memastikan operasi pengurusan bencana berjalan lancar dan keselamatan rakyat sentiasa terjamin.
“Kerjasama masyarakat amat penting untuk memastikan usaha menangani banjir di Kelantan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan,” tambahnya. – MalaysiaGazette
















