Norfaqeah bersama-sama Mohd Aqil Naim yang maut dalam kemalangan di Jalan Ayer Baloi-Bukit Batu, Pontian, hari ini.

PONTIAN – Wakil insurans yang maut dalam kemalangan awal pagi tadi didakwa cuba merakamkan mesej pesanan suara menerusi telefon bimbit tetapi tidak sempat menghantarnya.

Norfaqeah Oney, 25, berkata, cubaan tersebut dilakukan suaminya, Mohd Aqil Naim Mohamad Tahar, 33, selepas bertemu kali terakhir bersama-sama dua anak mereka di rumah ibu mertuanya.

“Tak sampai 15 minit kami berpisah, saya nampak dia rakam pesanan suara di telefon bimbit tapi tak sempat dihantar.

“Sekitar pukul 1.40 pagi, saya lihat telefon bimbit suami merakam pesanan suara di telefon, namun pesanan suara itu tidak dihantar.

“Pukul 1.52 pagi saya sempat tanya kepada suami mengenai pesanan suara itu, tetapi tidak dibalas,” ujarnya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Pontian di sini hari ini.

Mohd Aqil Naim maut dalam nahas selepas kereta dipandu hilang kawalan dan masuk dalam parit di Kilometer 3.3 Jalan Ayer Baloi-Bukit Batu di sini pukul 3.22 pagi.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Tengah Benut selepas solat Johor.

Pasangan tersebut dikurniakan dua anak iaitu Mohd Aqmar Fayyaz, 3 tahun, dan Norqaseh Fiona, 11 bulan.

Bercerita lanjut, Norfaqeah berkata, pertemuan terakhirnya dengan suami berlaku di rumah ibu mertuanya di Kampung Puteri Menangis pada pukul 1.20 pagi tadi sebelum Mohd Aqil Naim pergi bekerja di bandar Pontian.

“Sebelum berpisah, suami salam dua kali, peluk dan cium saya beberapa kali. Dia cakap ‘hati-hati’ sebelum bergerak. Memang terasa pelik, tapi tak sangka itu pertemuan terakhir kami,” katanya.

Norfaqeah berkata, penantiannya berakhir apabila pada pukul 3.20 pagi, dia dikejutkan dengan panggilan ahli keluarga yang memaklumkan suaminya sudah terbabit kemalangan jalan raya.

Surirumah itu memberitahu, mereka membuat persiapan sambutan hari lahir anak bongsu pada 6 Disember diikuti majlis akikah pada 14 Disember.

“Kad jemputan dah siap, hadiah pun dah sedia, semua perancangan saya dan arwah sudah kami lakukan sejak bulan lepas, tapi hasrat arwah tak kesampaian,” katanya.- MalaysiaGazette

Wakil insurans maut terbabas dalam parit

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast