Foto: PDRM

KUALA LUMPUR – Seramai 13,915 orang melibatkan 4,844 keluarga mangsa terjejas akibat banjir susulan hujan lebat yang terus melanda di beberapa negeri seluruh negara, sehingga pukul 4 petang tadi.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, Kelantan merupakan antara negeri yang terjejas teruk dengan rekod mangsa banjir tertinggi melibatkan 3,487 keluarga dan 9,503 orang mangsa diikuti Perak (485 keluarga dan 1,538 orang mangsa).

Perlis (426 keluarga dan 1,426 orang mangsa), Kedah (168 keluarga dan 542 orang mangsa), Pulau Pinang (106 keluarga dan 414 orang mangsa), Selangor (94 keluarga dan
283 orang mangsa) dan Terengganu (78 keluarga dan 209 orang mangsa.

“Sehingga kini, Kerajaan melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) dan NADMA telah menggerakkan semua cabang agensi yang terlibat dalam pengurusan bencana di setiap peringkat yang bertindak pantas dengan sokongan pelbagai aset termasuk telah mengaktifkan 63 Pusat Pemindahan Sementera (PPS) di seluruh kawasan yang terjejas.

“Kesiapsiagaan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) turut berada pada tahap optimum khususnya di Kelantan bagi menghadapi kemungkinan peningkatan paras air dan banjir susulan musim tengkujuh,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) menerusi kenyataan, hari ini.

Menurut Ahmad Zahid, ketika ini lebih 1,205 anggota APM Negeri Kelantan telah diaktifkan termasuk pasukan tambahan dari negeri-negeri berhampiran yang bersedia digerakkan pada bila-bila masa.

Tambah beliau, bagi memastikan keselamatan rakyat, khususnya di kawasan yang dikenal pasti berisiko tinggi, APM turut bersiap siaga bersama 91 aset darat dan air termasuk pelbagai jenis bot, ambulans, lori pelbagai guna, kenderaan pacuan empat roda, dron pemantauan serta peralatan menyelamat di air,” ujarnya.

Ahmad Zahid berkata, selain itu, operasi pemantauan situasi cuaca, paras air sungai dan kawasan cerun berisiko turut dipertingkatkan melalui pemantauan bersama Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) yang beroperasi 24 jam.

Katanya, kerajaan juga telah memastikan semua mangsa yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibekalkan dengan barang keperluan bencana yang secukupnya seperti makanan asas, khemah, barang keperluan diri, ubat-ubatan dan sebagainya.

Sementara itu, beliau menggesa semua mangsa banjir yang dipindahkan ke PPS dan penduduk yang berada di kawasan berisiko agar mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dari semasa ke semasa, bagi mengelak dan mengurangkan impak bencana terhadap nyawa dan harta
benda semasa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast