Seramai 80 orang penduduk dari Kampung Papan, Pandamaran hadir bagi menyerahkan memorandum bantahan kepada Menteri Besar Selangor dan Ketua Pembangkang di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz (SSAAS), Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 24 NOVEMBER 2025.

SHAH ALAM – Penduduk Kampung Papan, Pandamaran di Klang yang rumah mereka terbabit kerja pengosongan dan perobohan menuntut Kerajaan Selangor agar kembali kepada persetujuan yang dicapai dalam Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 26 Februari 2018.

Wakil penduduk, Teoh Ah Guat berkata, ini kerana kerajaan negeri telah bersetuju untuk membina rumah teres bersaiz 20×70 dengan harga tawaran RM99,000 serta jenis-jenis perumahan lain untuk mereka yang bukan peneroka asal.

Menurutnya, keputusan itu telah dipersetujui oleh semua pihak termasuk kerajaan negeri dan pihak pemaju pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor yang mana pihaknya menyokong keputusan Majlis Tindakan Ekonomi Selangor bertarikh 26 Februari 2018.

“Kami ingin mengemukakan tuntutan kami untuk perhatian Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari  dan juga bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memandangkan kedua-dua pemimpin ini mempunyai peranan dalam penempatan semula perumahan peneroka asal Kampung Papan.

“Kami mewakili kepentingan 83 peneroka asal dari Kampung Papan seperti dalam senarai yang dilampirkan di mana daripada jumlah ini, sebanyak 29 rumah yang didiami telah dirobohkan secara paksa tanpa mengendahkan janji bertulis yang telah diberikan oleh Kerajaan Negeri Selangor.

“Selain daripada itu, kami juga ingin menegaskan bahawa kami tidak ada sebarang masalah jika perumahan diberikan juga kepada peneroka asal Kampung Papan yang tidak lagi duduk di kampung sekarang kerana nama mereka ada dalam bancian yang direstui oleh Kerajaan Negeri Selangor,” katanya dalam tuntutan memorandum itu yang turut ditandatangani lima penduduk lain.

Wakil Penduduk, Teoh Ah Guat bersama Timbalan Pengerusi PSM, S Arutchelvan menyerahkan memorandum bantahan kepada wakil Kerajaan Negeri Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz (SSAAS), Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 24 NOVEMBER 2025.

Memoradum itu diserahkan oleh penduduk Kampung Papan hadir kepada wakil Menteri Besar di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari.

Media sebelum ini melaporkan sebanyak 20 rumah di Kampung Papan terbabit dalam kerja pengosongan yang dijalankan sejak minggu lalu bagi memberi laluan kepada projek pembangunan yang bakal dilaksanakan pemaju.

Bagaimanapun, proses pengosongan rumah penduduk itu kecoh apabila beberapa wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta penduduk didakwa membantah dan menghalang kerja perobohan.

Namun Amirudin yang menjelaskan perkara itu berkata, penduduk Kampung Papan di mana rumah mereka terbabit kerja pengosongan dan perobohan bakal menerima kediaman mampu milik dibangunkan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB).

Beliau berkata, perkara itu telah dipersetujui bersama pada mesyuarat kerajaan negeri itu berikutan pihak pemaju bersetuju menyerahkan tanah seluas 2.8 hektar bagi projek pembangunan menyeluruh.

Seramai 80 orang penduduk dari Kampung Papan, Pandamaran hadir bagi menyerahkan memorandum bantahan kepada Menteri Besar Selangor dan Ketua Pembangkang di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz (SSAAS), Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 24 NOVEMBER 2025.

Mengulas lanjut, Ah Guat berkata, pihaknya juga menuntut agar kerajaan negeri mendesak pemaju, Melati Ehsan untuk membayar ganti rugi kepada 29 rumah yang telah dirobohkan secara paksa yang jelas membelakangi keputusan bersama dengan menteri besar pada 21 Oktober lalu.

Katanya, penduduk bersedia berbincang mengenai penempatan sementara yang munasabah dan sebarang penarikan kes  mereka hanya akan dibuat setelah perjanjian dimeterai dengan penglibatan peguam penduduk.

“Kami turut memohon agar kerajaan negeri membekukan semua projek Melati Ehsan dan anak syarikatnya di Selangor sehingga isu ini diselesaikan sepenuhnya di mana seruan yang sama turut dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeru Pandamaran dalam Mesyuarat Dewan Undangan Negeri.

“Andai kata pihak Melati Ehsan dan TPPT Sdn. Bhd. enggan menyerahkan tanah yang mencukupi, maka kerajaanegeri harus mencari jalan penyelesaian, termasuk menggunakan Akta Pengambilan Tanah bagi tujuan merampas tanah untuk projek berkepentingan awam.

“Kami amat dukacita kerana walaupun Kerajaan Negeri pada tahun 1995 telah memperuntukkan 95 ekar namun pada hari ini hanya tujuh ekar dikembalikan, sedangkan TPPT masih merupakan pemilik tanah berkenaan,” katanya. – MalaysiaGazette

Wakil Penduduk, Teoh Ah Guat bersama Timbalan Pengerusi PSM, S Arutchelvan menyerahkan memorandum bantahan kepada wakil Pembangkang di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz (SSAAS), Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 24 NOVEMBER 2025.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast