Oleh: Dr. Hafidz Hakimi Haron
PILIHAN raya merupakan puncak pelaksanaan demokrasi dalam sesebuah sistem perlembagaan. Ia bukan sekadar proses memilih wakil rakyat, tetapi ruang untuk interaksi antara variasi idea, penglibatan rakyat, dan penilaian terhadap dasar-dasar sedia ada. Di Sabah, pilihan raya mempunyai dimensi yang lebih kompleks kerana keunikan sejarah dan komposisi masyarakatnya.
Isu seperti pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), status anak negeri Sabah, dan pengagihan kekayaan sering dibahaskan dalam ruang politik negeri ini. Namun, kemunculan fenomena ucapan kebencian terutama dalam media digital menimbulkan ancaman baharu terhadap kualiti wacana dan kestabilan sosial.
Ucapan kebencian, menurut takrif umum, merujuk kepada ujaran yang menyerang individu atau kumpulan berdasarkan etnik, agama, keturunan atau identiti tertentu dengan niat menggalakkan permusuhan, diskriminasi atau perpecahan. Ia bukan sahaja menjejaskan hubungan sosial, tetapi juga menurunkan martabat perbualan dalam kalangan demokratik.
Menurut laporan UNESCO dan IPSOS pada tahun 2023, lebih 70 peratus responden di 16 negara melaporkan peningkatan mendadak kandungan berbaur kebencian dalam talian ketika tempoh pilihan raya. Kajian ini menunjukkan bahawa pilihan raya sering kali memuncakkan tingkah laku digital yang toksik akibat peningkatan emosi, polarisasi dan eksploitasi isu identiti.
Dalam konteks Malaysia, hak kebebasan bersuara dijamin di bawah Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan. Namun, seperti sistem undang-undang moden lain, hak ini tertakluk kepada had tertentu demi memelihara ketenteraman awam, moral dan keselamatan negara. Ini ditegaskan dalam Perkara 10(2)(a) yang memberi kuasa kepada Parlimen untuk mengenakan sekatan terhadap kebebasan bersuara. Maka jelas bahawa sistem perundangan Malaysia menuntut pengimbangan antara hak individu dan kepentingan kolektif.
Seiring dengan perkembangan digital, instrumen undang-undang telah ditambah baik untuk menangani penyalahgunaan platform dalam talian. Pindaan kepada Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM) yang diluluskan pada tahun 2024 memperlihatkan pengiktirafan kerajaan terhadap ancaman ucapan kebencian dalam bentuk digital.
Pindaan ini bukan sahaja memperluas takrifan kesalahan kandungan, tetapi juga memantapkan kuasa penguatkuasaan terhadap penyebaran retorik kebencian dan diskriminasi melalui
media sosial. Kini, individu yang mencipta, berkongsi atau mengulangi ujaran sedemikian boleh dikenakan tindakan undang-undang, selari dengan prinsip kesantunan wacana dan keamanan awam.
Di samping itu, Seksyen 505 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman terhadap penyiaran berita atau kenyataan yang boleh menimbulkan kegentaran awam. Seksyen ini sering digunakan dalam konteks isu yang menyentuh ketegangan perkauman atau ancaman keamanan. Akta Hasutan 1948, walaupun kontroversial dari segi pemakaian dan perdebatan, terus berfungsi dalam menangani ucapan berunsur provokasi terhadap raja, agama dan isu-isu sensitif yang berkait rapat dengan Perkara 153 Perlembagaan.
Namun, perlindungan undang-undang hanyalah sebahagian daripada penyelesaian. UNESCO dalam pelbagai penerbitannya menggariskan bahawa literasi digital dan media adalah elemen kritikal dalam membendung ucapan kebencian. Kajian oleh UNESCO pada tahun menunjukkan bahawa pendidikan sivik yang memupuk analisis kritis dalam penggunaan maklumat digital boleh mengurangkan kecenderungan pengguna untuk mempercayai atau menyebarkan ujaran kebencian.
Tambahan pula, dalam era media sosial yang mengutamakan keterlibatan emosi, pengguna sering terdedah kepada naratif yang tidak seimbang dan berpotensi melampau. Literasi media menjadi benteng untuk menyaring informasi, menolak manipulasi, dan mengukuhkan budaya dialog yang lebih matang.
Dalam konteks pengawalseliaan media, penubuhan Majlis Media Malaysia (MMM) pada baru baru ini mampu memberi nafas baharu kepada usaha mewujudkan industri kewartawanan yang bertanggungjawab. Sebagai badan kawal selia kendiri, MMM
memainkan peranan utama dalam menyediakan kod etika, memantau liputan media dan mengendalikan aduan berkaitan pelaporan berat sebelah atau berbaur kebencian.
Dalam suasana pilihan raya Sabah, MMM berupaya menjadi rakan strategik penting dalam memastikan liputan media mematuhi standard etika, tidak mencetuskan sensitiviti perkauman, dan pada masa yang sama memberi ruang kepada perbincangan politik yang sah. Malah, pilihan raya Sabah juga menguji cara masyarakat menguruskan perbezaan. Sabah terdiri daripada pelbagai etnik dan budaya, termasuk Kadazan-Dusun, Bajau, Murut, Cina, dan lain-lain, menjadikan wacana politiknya kaya tetapi rentan.
Dalam konteks ini, ucapan kebencian boleh merosakkan hubungan antara komuniti dan memecah-belahkan masyarakat. Oleh itu, penerapan nilai hormat, toleransi dan empati bukan sahaja penting di peringkat dasar dan sistem, tetapi juga sebagai amalan harian rakyat. Pendidikan hak asasi manusia dan sivik yang mencerminkan nilai kesederhanaan turut relevan dalam memperkukuh kembali hubungan sosial.
Selain itu, sistem demokrasi digital juga memerlukan mekanisme semak dan imbang yang lebih berkesan. Penggunaan kecerdasan buatan (AI) untuk mengenal pasti kandungan berbahaya boleh dipertimbang dengan lebih serius, namun ia harus berhati-hati supaya tidak menafikan hak kebebasan bersuara secara sewenang-wenangnya. Pandangan ini selari dengan amalan antarabangsa yang menekankan perlunya pendekatan yang berimbang dalam pengawalseliaan kandungan digital.
Kesimpulannya, ucapan kebencian bukan sekadar fenomena komunikasi. Ia adalah cabaran terhadap integriti sistem demokrasi dan perlembagaan. Menangani isu ini memerlukan pendekatan menyeluruh, yang melibatkan instrumen undang-undang, pembudayaan literasi media dan etika kewartawanan yang kukuh. Dalam era ini, kita perlu menegakkan wacana politik yang rasional, bermaruah dan inklusif, di mana perbezaan pendapat diraikan dalam semangat toleransi, bukannya menanam bibit-bibit permusuhan.

Penulis adalah Felo Penyelidik Bersekutu, Legal Justice and Research Centre (LJRC), Pusat Pengajian Undang-undang, Universiti Utara Malaysia.
















