Menteri Komunikasi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, Datuk Ahmad Fahmi Fadzil pada Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen Ke-15 di bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 03 NOVEMBER 2025.

KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi akan memperhalusi berdasarkan kajian  komprehensif cadangan untuk menetapkan harga lantai bagi perkhidmatan kurier.

Menterinya, Datuk Fahmi Fadzil berkata, ia termasuk melalui proses pengauditan kos dan struktur harga industri bagi memastikan sekiranya harga lantai mandatori diperkenalkan, ia adalah wajar kepada industri.

Selain itu, tambah beliau, kajian itu juga bagi memastikan industri kurier terus dapat beroperasi secara mampan serta mengambil kira implikasi kos kepada pengguna-pengguna perkhidmatan kurier.

Jelas beliau, bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kurier yang berkualiti kepada pengguna serta mengekalkan persaingan sihat dalam industri, Suruhanjaya Komunikasi dan Multmedia Malaysia (MCMC) ketika ini telah memperkenalkan Garis Panduan Harga Rujukan bagi perkhidmatan kurier.

Tambahnya, garis panduan itu bertujuan mengimbangi kualiti perkhidmatan dengan daya saing harga dalam industri dan mengelakkan amalan harga predatori (predatory pricing) yang boleh menjejaskan kelangsungan penyedia perkhidmatan kecil dan sederhana.

“Bagaimanapun Garis Panduan Harga Rujukan ini bukanlah harga minimum yang mandatori, sebaliknya berfungsi sebagai panduan rujukan harga bagi pemegang lesen.

“Pendekatan ini merupakan kaedah kawal selia kendiri, di mana penetapan kadar harga perkhidmatan kurier dibuat oleh pihak industri sendiri berdasarkan kos operasi yang efisien, selaras dengan peruntukan Seksyen 36, Akta Perkhidmatan Pos 2012 (Akta 741),” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.

Semalam, Datuk Shamsulkahar Mohd Deli pada sidang Dewan Rakyat membangkitkan ketidakseimbangan ketara dalam penguasaan pasaran industri kurier sehingga menekan syarikat tempatan, khususnya pemain kecil dan sederhana.

Menurut Shamsulkahar (BN-Jempol), kaedah ‘predatory pricing’ atau perang harga melampau semakin ketara apabila terdapat syarikat besar menawarkan caj serendah RM2 hingga RM3 meskipun kos sebenar penghantaran sebuah bungkusan kecil dianggarkan RM2.50.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Fahmi (PH-Lembah Pantai) berkata, setakat 15 Oktober lalu, MCMC telah melesenkan sebanyak 102 syarikat sebagai penyedia perkhidmatan kurier di bawah Akta Perkhidmatan Pos 2012 [Akta 741].

Daripada jumlah itu, ujarnya, sebanyak 98 peratus daripada keseluruhan jumlah bungkusan di Malaysia dikendalikan oleh 15 pemegang lesen utama.

“Daripada 102 syarikat yang telah dilesenkan, 21 pemegang lesen adalah syarikat antarabangsa, manakala baki 81 merupakan syarikat tempatan, berdasarkan majoriti pegangan saham,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast