MELAKA – Kerajaan negeri belum menerima sebarang aduan rasmi berhubung dakwaan terbaharu mengenai pemilik sebuah madrasah yang didakwa memukul dan mendera pelajar seperti yang tular di media sosial.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan berlaku kejadian itu seperti yang pernah terjadi di beberapa madrasah sebelum ini.
“Memang berlaku juga beberapa kes yang berkaitan (pukul pelajar) di madrasah lain sama ada milik swasta ataupun di bawah Institut Pendidikan Islam Swasta (IPS) sebelum ini.
“Justeri, saya menyeru kepada ibu bapa dan pelajar untuk terus laporkan kepada kami melalui aduan rasmi untuk ditangani sebaik-baiknya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyantuni 249 pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan Air Molek di sini hari ini.
Rahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Molek berkata demikian ketika diminta mengulas tular dakwaan bekas pelajar ‘sisi gelap’ madrasah berkenaan di media sosial.
Bekas pelajar itu mendakwa, berlaku penderaan fizikal serta pengabaian kebajikan pelajar sepanjang tempoh tiga tahun dia berada di pusat berkenaan.
Dakwanya, pemilik madrasah kerap menampar atau menumbuk pelajar hingga menyebabkan mulut berdarah dan mereka dilarang menceritakannya kepada ibu bapa atau sesiapa di luar.
Madrasah berkenaan juga katanya, tidak memaklumkan ibu bapa sekiranya pelajar jatuh sakit walaupun dalam keadaan serius sehingga parah seolah-olah kebajikan pelajar bukan keutamaan.
Mengulas lanjut Rahmad berkata, setakat ini, pihaknya tidak menerima sebarang laporan rasmi berkaitan kes di madrasah terbabit seperti yang tular di media sosial sejak semalam.
“Sebenarnya, ada juga beberapa madrasah yang telah pun kita tutup operasinya tahun lalu disebabkan kes-kes sebegini iaitu di kawasan Raya Rumput dan Sungai Petai.
“Tapi untuk dakwaan terbaharu ini, setakat ini saya tidak tidak terima apa-apa laporan kecuali seperti apa yang tular di media sosial,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















