Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) mendedahkan seramai 24 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah dibuang kerja akibat kesalahan rasuah dalam tempoh tiga tahun bermula 2023 hingga Oktober tahun ini.

Timbalan Menteri KDN, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, tindakan disiplin itu menunjukkan usaha berterusan kerajaan untuk memperkukuh integriti pasukan keselamatan.

“Sebanyak lapan pemecatan berlaku pada 2023, empat pada 2024 dan 12 lagi direkodkan dari Januari hingga Oktober tahun ini,” katanya ketika sesi penggulungan peringkat jawatankuasa Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 bagi Kementerian Dalam Negeri di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurutnya, KDN dan PDRM memperluas mekanisme pencegahan salah laku melalui pelaksanaan Ikrar Bebas Rasuah (IBR), pemantauan gaya hidup serta tindakan penguatkuasaan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS).

Beliau berkata, sebuah sistem pencegahan rasuah PDRM yang bersepadu sedang dibangunkan bagi mengesan dan memantau risiko rasuah secara sistematik.

“Menerusi beberapa siri bengkel, sebanyak 43 risiko rasuah dikenal pasti melalui Pengurusan Risiko Rasuah (CRM) dan Penilaian Risiko Rasuah (CRA),” jelasnya.

Shamsul turut mengingatkan, aduan awam terhadap salah laku polis boleh dikemukakan terus kepada Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) untuk siasatan bebas.

Beliau menegaskan, walaupun terdapat pegawai yang dikenakan tindakan tegas, majoriti warga PDRM terus mengekalkan disiplin dan profesionalisme.

“Pada tahun 2025 sahaja, seramai 41 pegawai menerima sijil pengiktirafan ‘Tolak Rasuah’, membuktikan komitmen anggota yang kekal berintegriti,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast