TENOM – Kehadiran bekas Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 di beberapa kawasan disifatkan sebagai sokongan peribadi kepada calon-calon yang dikenali rapat dan bukannya semata-mata sokongan parti.
Khairy yang tidak terikat dengan mana-mana parti utama menegaskan, beliau memilih untuk turun berkempen demi ‘anak-anak buah’nya yang bertanding walaupun mereka mewakili parti yang berbeza.
“Ramai yang kempen atas nama parti, tapi mereka tak kenal pun calon. Saya kenal semua calon-calon ini, kerana semua anak-anak buah saya.
“Hafiz anak buah saya, Jamawi anak buah, Arshad, Mohamad Alaamin anak buah.
“Semua parti berbeza, semua Pemuda Bahagian. Jadi, ini personal endorsement lain daripada party endorsement,” katanya kepada MalaysiaGazatte.
Beliau berkata demikian selepas sessi berkempen bersama calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.42 Melalap, Datuk Jamawi Jaafar di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Khairy mengakui, ada parti selalunya terpaksa cakap sokong, namun ada antara mereka tidak mengenali mereka.
“Pertamanya, saya hanya pergi tempat orang yang saya kenal dan kalau saya kenal maknanya betul-betul kenal, bukan sekadar jumpa dua tiga kali.”
“Keduanya, saya percaya dengan kemampuan mereka,” katanya lagi.

Ditanya, adakah menerima jemputan daripada mereka, Khairy berkata akan tetap turun membantu.
“Mereka jemput, tapi saya kata tak payah jemput pun saya memang akan turun.
“Tempoh dua tiga hari ini sangat penting kerana untuk menarik pengundi atas pagar membuat keputusan,” tambahnya.
Sementara itu, diminta mengulas mengenai auranya sebagai bekas pemimpin nombor satu Pemuda UMNO Malaysia, Khairy berkata: “Aura KJ sahaja tidak mencukupi untuk menjamin kemenangan di Sabah.
“Sabah ni lain. Ada macam-macam faktor, tak boleh bersandar pada aura saja. Sebab itu (penting) calon yang baik, mewakili kerajaan perpaduan.
“Saya menggesa pengundi di Sabah untuk berfikir panjang-panjang, keputusan mereka untuk mengundi menjadi penentu kepada usaha bersepadu yang dapat meningkatkan kesepaduan negeri dan Persekutuan,” katanya.
Terdahulu, Khairy yang tiba di Kota Kinabalu memulakan sesi kempen bersama calon PH DUN N.35 Sindumin, Datuk Yamani Hafez Musa di Kampung Guruh-Guruh.
Selesai bersamaJamawi, Khairy bergegas menghadiri program bersama calon Barisan Nasional DUN N.30 Bongawan, Datuk Mohamad Alamin di Kampung Baru Perpaduan, Kimanis.
Sesi kempen Khairy akan diteruskan bersama kempen calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) DUN N.09 Tempasuk, Datuk Arsad Bistari di pekarangan Dewan Arsad, Kota Belud pada jam 9.30 pagi esok. – MalaysiaGazette
















