TANGKAK- Sebuah ladang ternakan di Sengkang, Bukit Gambir di sini diberikan satu kompaun dan notis peringatan agar segera menyelesaikan masalah pencemaran bau dalam operasi semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Gambir, Sahrihan Jani berkata, operasi bersepadu telah dijalankan di lokasi tersebut membabitkan pelbagai agensi antaranya Majlis Daerah Tangkak, Pejabat Kesihatan Daerah, Pejabat Veterinar Daerah, Jabatan Alam Sekitar Negeri Johor dan polis.
Menurutnya, pengurusan ladang berkenaan diberi tempoh tiga minggu diberi bagi menyelesaikan masalah yang telah lama mengganggu penduduk.
Jelasnya, tindakan tersebut merupakan permulaan kepada langkah lebih tegas, sekali gus menunjukkan kerajaan negeri tidak akan berkompromi dalam hal yang membabitkan kesejahteraan rakyat.
Isu pencemaran bau akibat pengurusan tinja di ladang ternakan dibangkitkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), baru-baru ini.
Difahamkan isu tersebut sudah berlarutan sejak lama sehingga menjejaskan kualiti udara penduduk setempat.- MalaysiaGazette
















