PUTRAJAYA – Tujuh pelajar muncul sebagai kumpulan pertama memperoleh keputusan tertinggi dalam Penilaian Ithbat KAFA Pra-Tahfiz, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), sekaligus menandakan kejayaan awal Melaka sebagai negeri perintis pelaksanaan Ithbat Tahap 6 bagi program tersebut.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, kesemua tujuh pelajar berkenaan berjaya mencapai pencapaian tertinggi dengan memperoleh Mumtaz Mutamayyiz, manakala beberapa calon lain turut mendapat keputusan Mumtaz Ali, Mumtaz, Jayyid Jiddan Jayyid dan Maqbul.
Katanya, pihak JAIM menyifatkan kehadiran calon pada sesi penilaian kali ini sebagai sangat baik.
“Pihak JAIM optimis bahawa pelaksanaan Penilaian Isbat KAFA Pra-Tahfiz akan terus menggalakkan murid menghafaz al-Quran dari peringkat awal.
“Tujuh pelajar terbaik tersebut juga bakal ditempatkan di sekolah-sekolah terbaik sebagai usaha memperkasa kecemerlangan akademik dan pencapaian hafazan 30 juzuk al-Quran,” katanya kepada media selepas Majlis Pengumuman Keputusan Ithbat KAFA Pra-Tahfiz (IKP) Tahun 2025, di sini, hari ini.
Mohd Na’im berkata, lebih daripada sekadar lulus penilaian, pelajar diharapkan benar-benar menghayati ajaran al-Quran yang dipelajari.
Katanya, penekanan ini penting agar mereka bukan sahaja memiliki ilmu, tetapi mengamalkannya dalam kehidupan seharian sebagai generasi yang membawa nilai dan akhlak al-Quran.
“Hasrat ini selari dengan aspirasi Kerajaan Madani di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mahu melahirkan generasi beradab, berakhlak dan berbudi pekerti melalui pendidikan seperti UPKK (Ujian Penilaian Kelas Kafa )dan kini Ithbat Tahfiz.
Dalam pada itu beliau, merakamkan penghargaan kepada sekolah-sekolah terlibat, Bahagian Pendidikan JAKIM serta semua guru atas kejayaan melahirkan pelajar cemerlang dalam penilaian berkenaan.
Program IKP bermula sejak 2020 dan Melaka menjadi negeri pertama menyahut seruan JAKIM melaksanakan penilaian ini sehingga ke Tahap 6, selepas melalui proses penilaian Tahap 3, 4 dan 5.
JAWI serta Selangor telah memulakan pelaksanaan Ithbat, namun Melaka mendahului dalam penilaian tahap terkini.
Dengan keputusan memberangsangkan hari ini, lebih banyak negeri dijangka melaksanakan Penilaian Ithbat sekaligus mendorong ibu bapa menggalakkan anak-anak menghafaz al-Quran lebih awal tanpa menunggu ke peringkat sekolah menengah.
Sebagaimana program baharu lain, beberapa kelemahan turut dikenal pasti dan Bahagian Pendidikan JAKIM bersama jabatan agama negeri akan melaksanakan penambahbaikan berterusan bagi memastikan pelaksanaan lebih mantap pada tahun hadapan. – MalaysiaGazette
















