Nurhafizah Jamalludin

KUALA LUMPUR – Pergerakan Wirawati Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) mendesak kerajaan memberikan penjelasan terperinci mengenai pelaksanaan Projek Next Generation Emergency Response (NG999) bernilai RM1.25 bilion yang didakwa penuh dengan tanda tanya.

Ketuanya, Nurhafizah Jamalludin menegaskan, NG999 seharusnya berperanan sebagai tulang belakang sistem keselamatan negara, namun ketidakjelasan maklumat serta ketiadaan laporan audit prestasi terus menimbulkan keraguan dalam kalangan rakyat.

“Wirawati Putra menegaskan, isu tersebut bukan berkaitan politik, sebaliknya melibatkan tanggungjawab kerajaan dalam menguruskan dana awam yang membabitkan aspek keselamatan rakyat.

“Kerajaan sebelum ini menjelaskan bahawa jumlah RM1.25 bilion bukan hanya untuk pembangunan aplikasi SaveME999, tetapi merangkumi keseluruhan ekosistem NG999 untuk tempoh 11 tahun seperti dilaporkan media arus perdana pada 24 dan 25 November 2025.

“Namun bagi Wirawati Putra, penjelasan itu masih belum mencukupi serta tidak menepati piawaian ketelusan yang sepatutnya diamalkan sesebuah kerajaan yang menuju agenda Digital Government 2030 di bawah Malaysia Digital Economy Blueprint,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Wirawati Putra katanya, turut mempersoalkan ketiadaan pecahan perbelanjaan terperinci daripada jumlah RM1.25 bilion.

Beliau merujuk laporan media yang menyatakan kos operasi aplikasi SaveME999 dan Responder hanya kira-kira RM880,000 setahun iaitu kurang daripada satu peratus daripada keseluruhan projek  sekaligus menimbulkan lebih banyak persoalan berhubung penggunaan baki dana tersebut.

Selain kos katanya, ketiadaan laporan audit rasmi berkaitan prestasi NG999 antara indikator yang didakwa tidak pernah dibentangkan kepada rakyat termasuk masa respons ambulans, ketahanan sistem, kadar kegagalan operasi, keberkesanan integrasi antara agensi serta prestasi keseluruhan sistem.

Ujarnya, negara-negara seperti United Kingdom, Australia dan Singapura menerbitkan laporan prestasi sistem kecemasan secara berkala dan Malaysia seharusnya mencontohi amalan tersebut memandangkan jumlah perbelanjaan NG999 adalah besar serta melibatkan keselamatan nyawa rakyat.

“Meskipun peruntukan besar telah dibelanjakan, rakyat masih belum merasai peningkatan ketara dalam pengalaman penggunaan perkhidmatan kecemasan,” katanya.

Tambah beliau, antara aduan yang terus kedengaran termasuk ambulans lewat tiba, operator masih bertanya lokasi pemanggil, tiada sistem penjejakan ambulans secara masa nyata, ketiadaan panggilan video kecemasan dan aplikasi SaveME999 yang dianggap tidak mesra pengguna.

Pihaknya kata beliau, turut membandingkan ciri kecemasan moden di negara lain seperti real-time ambulance tracking, emergency video call, silent SOS chat, Advanced Mobile Location (AML) serta sistem triage berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang sehingga kini belum menjadi standard dalam NG999.

Sehubungan itu, Wirawati Putra mengemukakan empat tuntutan utama iaitu pecahan kos penuh RM1.25 bilion merangkumi kos pelayan, lesen, awan, tenaga kerja, R&D dan integrasi agensi.

“Penerbitan laporan prestasi tahunan atau audit NG999 melibatkan KPI seperti masa respons, masa beroperasi dan jumlah aduan.

“Pembentangan pelan penambahbaikan menyeluruh termasuk AML, video kecemasan, live tracking, silent SOS chat dan AI triage dan audit bebas oleh Parlimen dan Jabatan Audit Negara bagi memastikan integriti penggunaan dana awam,” katanya.

Mengulas lanjut Nurhafizah menegaskan, rakyat tidak menolak pendigitalan, tetapi menolak ketidaktelusan dan potensi pembaziran dalam projek berkaitan keselamatan nasional.

Jelasnya, negara mempunyai ramai bakat muda dalam bidang teknologi dan keselamatan awam yang seharusnya dimanfaatkan bagi memastikan projek nasional dijalankan dengan cekap dan berimpak tinggi.

“Sebanyak RM1.25 bilion ialah amanah rakyat. Keselamatan nyawa bukan sekadar angka,” tambahnya. –   MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast