Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sepanjang tahun ini setakat September lalu, sebanyak 47,854 kes penipuan dalam talian atau scam direkodkan di negara ini dengan nilai kerugian berjumlah RM1.919 bilion.

Ia menunjukkan trend peningkatan yang membimbangkan berbanding sebanyak 35,368 kes sepanjang tahun lalu dengan nilai kerugian mencecah RM1.574 bilion.

Situasi ini jelas menunjukkan di sebalik sekian banyak usaha yang dilakukan pelbagai pihak bagi mengekang jenayah penipuan online atau scam, masih ramai yang terjebak dan menjadi mangsa.

Disebabkan itu, adalah mustahak untuk setiap rakyat Malaysia memahami dan peka dengan trend penipuan online atau scam yang sentiasa berubah-ubah serta semakin kompleks.

Berkongsi trend penipuan online itu, pakar kriminologi, Nadiah Syariani Md Shariff berkata, kecangihan teknologi masa kini membolehkan scammer untuk memanipulasi dan mencipta ruang serta peluang bagi menjayakan sindiket penipuan.

Nadiah Syariani

Katanya, walaupun ia kedengaran mudah untuk dilakukan, namun jenayah penipuan melibatkan perancangan yang sistematik dan boleh melibatkan sekumpulan organisasi di belakang satu sindiket penipuan.

Menurut beliau, kebanyakan manipulasi platform digital dilakukan melalui penyamaran identiti, penggunaan akaun palsu dan automatisasi dengan penciptaan profil atau akaun palsu.

Tambahnya, akaun-akaun palsu ini seakan-akan menggambarkan institusi kewangan, agensi kerajaan atau individu berpengaruh untuk mendapatkan kepercayaan pengguna.

“Teknologi seperti bot digunakan untuk meningkatkan ‘engagement’ dan mencipta ilusi kredibiliti, manakala kandungan palsu disebarkan melalui iklan berbayar atau akaun tiruan.

“Bahkan, penggunaan video atau audio palsu berasaskan teknologi AI dan deepfake turut meningkat, memudahkan penipu memperdaya mangsa melalui unsur emosi untuk mendorong mangsa berkongsi data peribadi secara sukarela,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Jika diperhatikan, terdapat banyak jenis penipuan kewangan dan setiap penipuan mempunyai modus operandi berbeza, ciri-ciri kumpulan sasaran yang tertentu dan motif yang berlainan.

Gambar hiasan

Selain dari faktor perubahan teknologi yang pesat, faktor-faktor ini juga menjadi penyumbang kepada kesukaran untuk memantau perubahan setiap jenis penipuan.

Sifat penipuan digital yang semakin sofistikated menjadikannya sukar dikesan walaupun oleh pengguna berpengalaman.

Lebih memburukkan keadaan, seperti yang dikongsikan Nadiah Syariani yang juga Pensyarah Kanan Kolej Universiti Manipal Malaysia, apabila kecanggihan teknologi seperti Generative AI (kecerdasan buatan) dan spoofing membolehkan penipu menghasilkan kandungan yang kelihatan sangat meyakinkan.

Menurut beliau, banyak akaun palsu juga dipadam dalam masa singkat, menghapuskan jejak digital sebelum mangsa sedar ditipu.

Selain itu, katanya, penipu turut beroperasi merentas pelbagai platform secara serentak, contohnya daripada WhatsApp dan Telegram ke TikTok dan Instagram yang secara tidak langsung menyukarkan pengawasan dan pengesanan.

“Di samping itu, kerjasama antarabangsa dalam sindiket penipuan turut menyukarkan tindakan undang-undang dan memerlukan masa lebih panjang untuk dibanteras,” ujar beliau.

Meskipun penciptaan kandungan palsu melibatkan eleman teknikal, penyebaran kandungan palsu memerlukan peranan elemen manusia.

Gabungan kedua-dua elemen ini menjadikan penyebaran akaun dan kandungan penipuan sukar dikawal.

Sebagi contoh, akaun penipuan biasanya berkembang melalui strategi ‘engagement farming’ yang menggunakan ribuan akaun palsu.

Gambar hiasan

Kandungan ini selalunya dicipta untuk kelihatan menarik supaya mendapat perhatian dan sering dikongsi oleh pengguna sebenar yang tidak menyedari ia adalah penipuan.

Ini termasuk testimoni palsu atau tawaran kerja dan pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan.

Sindiket penipuan juga memanfaatkan iklan berbayar untuk meningkatkan capaian, di samping menyebarkan mesej secara besar-besaran melalui mesej peribadi (DM) atau group chat.

Kaedah salin-tampal pada banyak platform turut memudahkan penyebaran kandungan secara pantas.

Disebabkan itu, adalah penting untuk setiap pengguna memahami tanda-tanda mereka sebenarnya sedang menjadi sasaran penipuan.

Ini adalah antara modus operandi yang digunakan untuk memerangkap mangsa supaya memberi data peribadi atau melakukan transaksi kewangan secara sukarela.

Seperti dikongsikan Nadiah Syariani, tawaran yang kelihatan terlalu baik untuk dipercayai merupakan amaran atau tanda-tanda penipuan online yang paling jelas.

Selain itu, mangsa sering diminta memberikan maklumat sensitif seperti nombor OTP, maklumat perbankan atau salinan kad pengenalan.

Kebiasannya, penipu juga menyamar sebagai wakil dari badan penguatkuasaan untuk mewujudkan elemen “authority” terhadap mangsa supaya mangsa akur dengan permintaan yang dinyatakan atas nama undang-undang.

“Perlu juga diperhatikan penggunaan bahasa yang kedengaran asing atau seolah-olah diterjemah dari terjemahan automatik serta komunikasi yang tidak konsisten turut menjadi petunjuk.

“Selain itu, penjenayah juga akan mengelak untuk berjumpa atau berbual secara muka ke muka samada pertemuan fizikal atau menerusi panggilan video.

“Ini antara tanda yang paling banyak diperhatikan dalam kes penipuan cinta atas talian.

“Namun, dengan kecanggihan teknologi AI dan deepfake, tidak mustahil kini suara dan wajah seseorang boleh ditiru dengan sempurna,” katanya.

Berkongsi tindakan yang boleh dilakukan sekiranya menjadi mangsa penipuan online, Nadiah Syariani berkata, antara yang boleh dilakukan termasuk menyimpan semua bentuk bukti seperti resit, screenshot, nombor telefon dan mesej perbualan.

Selain itu, laporan polis perlu dibuat segera bagi membolehkan siasatan dimulakan dan aliran wang disekat.

Mangsa boleh juga boleh membuat laporan melalui CCID Scam Response Centre di talian 03-2610 1559/1599 untuk bantuan.

“Selain itu, laporan kepada bank boleh membantu menghentikan transaksi atau memohon pembalikan (reversal) jika masih dalam tempoh.

“Amat penting bagi mangsa tahu bahawa mereka tidak seharusnya berdiam diri kerana rasa malu kerana penipuan bukan salah mangsa, dan tindakan cepat boleh menghalang lebih ramai daripada turut menjadi mangsa,” katanya.

Dalam masa sama, Nadiah Syariani mengingatkan yang mana penipuan kewangan tidak mengenal umur dan jantina, sebaliknya sesiapa sahaja boleh menjadi mangsa jika tidak berhati-hati meskipun seseorang itu celik teknologi.

Sehubungan itu, pengguna perlu memastikan tidak membuat keputusan terburu-buru terutamanya dalam komunikasi yang melibatkan permintaan data peribadi seperti nombor kad pengenalan, akaun bank serta pengesahan identiti untuk tujuan yang tidak berkaitan.

“Sekiranya anda dapati anda dalam situasi yang menekan dan memerlukan anda memberi maklumat peribadi, bersikap tenang dan lebih baik jika panggilan tersebut diputuskan.

“Tidak salah bagi seseorang individu untuk mengambil masa lebih untuk menyemak kesahihan maklumat sebelum membiuat keputusan yang melibatkan perkongsian data peribadi atau transaksi kewangan,” katanya.

 

Dalam situasi semasa di mana rakyat dilambakkan dengan kepelbagaian maklumat, amat penting untuk setiap pengguna mengambil masa untuk menyemak kesahihan maklumat sebelum dikongsi dengan orang lain.

Pengguna juga boleh sentiasa menyemak mekanisme terbaru penipuan kewangan yang sering dikongsi di laman Facebook Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, PDRM.

“Ini adalah salah satu cara pendekatan PDRM untuk sentiasa memaklumkan masyarakat dengan jenayah penipuan terbaru supaya tidak menjadi mangsa,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast