Operasi membawa balik rakyat Malaysia yang terkandas di Thailand akibat banjir.

KUALA LUMPUR – Lebih 6,000 rakyat Malaysia yang terperangkap akibat bencana banjir di Thailand telah selamat tiba ke tanah air sejak operasi menyelamat digerakkan pada Ahad lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, misi ini sebahagian besarnya disumbangkan oleh hampir 20 badan sukarelawan Malaysia yang digerakkan dengan kerjasama Wisma Putra, termasuk 13 pasukan bomba sukarela, selain bantuan Kerajaan Thailand.

“Saya amat terharu melihat keberanian dan kegigihan pasukan sukarelawan kita yang sanggup meredah banjir dan berdepan risiko demi menyelamatkan sesama rakyat Malaysia. Setinggi-tinggi penghargaan dan salut saya buat wira-wira kita.

“Penghargaan juga saya rakamkan kepada Kementerian Luar Negeri, Kedutaan Besar Malaysia di Thailand, Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla, pihak berkuasa Thailand, pasukan penyelamat tempatan serta pihak pengurusan UUM atas segala bantuan dan koordinasi dalam menguruskan 36 pelajar serta dua pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) yang turut terkandas di Hatyai,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Menurutnya, penat lelah dan komitmen semua pihak dalam memastikan keselamatan mereka mencerminkan keprihatinan, kepedulian dan semangat kebersamaan yang begitu tinggi tanpa mengira agama, kaum atau latar belakang.

“Saya mohon kita terus titipkan doa agar setiap langkah para sukarelawan dan seluruh pasukan kita dipermudah dalam meneruskan misi membawa pulang rakyat Malaysia yang masih terperangkap di Thailand. Kerajaan melalui Wisma Putra akan terus memantau rapat situasi ini dan menghulurkan bantuan secepat mungkin.

“Terima kasih semua!,” ujar Anwar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast