Wan Ahmad Farid Wan Salleh merasmikan Persidangan Mahkamah Rayuan secara litar di Pulau Pinang hari ini. 27 NOVEMBER 2025.

KUALA LUMPUR – Badan Peguam Malaysia menyifatkan persidangan Mahkamah Rayuan secara litar yang bersidang kali pertama di Pulau Pinang hari ini, membuka lembaran baharu terhadap sistem keadilan yang tidak lagi terhad kepada kekangan geografi, kos atau logistik.

Presidennya, Datuk Mohamad Ezri Abdul Wahab berkata, perkembangan itu membawa manfaat yang jelas kepada semua pihak berkepentingan kerana litigan, peguam, saksi dan pihak-pihak lain tidak lagi perlu ke Putrajaya untuk pendengaran rayuan.

Menurut badan itu, Mahkamah Rayuan litar menggalakkan proses rayuan yang lebih mudah diakses dan responsif untuk semua.

Ujar beliau, inisiatif itu mengurangkan beban kewangan, menjimatkan masa dan mengurangkan gangguan terutamanya bagi kumpulan yang terdedah seperti banduan yang terpaksa menempuh perjalanan yang jauh.

“Badan Peguam mengalu-alukan inisiatif Mahkamah Rayuan secara litar yang menandakan kemajuan penting dalam mengakses sistem keadilan.

“Kami mengucapkan tahniah kepada badan kehakiman kerana inisiatif ini apabila sidang pertamanya dilancarkan di Pulau Pinang hari ini,” ujar beliau dalam kenyataan.

Terdahulu, Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh ketika merasmikan pelancarannya di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang berkata, badan kehakiman turut meneliti peluasan persidangan di Sabah dan Sarawak melangkaui pusat sedia ada di Kuching dan Kota Kinabalu.

“Kami sedang melihat kemungkinan mengadakan sidang di lokasi seperti Miri, Sandakan untuk memudahkan masyarakat luar bandar. Prinsip kami jelas, kita pergi kepada mereka. Itulah akses kepada keadilan,” ujar beliau.

Dalam kenyataannya, Mohamad Ezri selanjutnya menyatakan, sidang litar juga mewujudkan peluang berharga untuk pertumbuhan profesional dalam komuniti undang-undang.

Ujarnya, prosiding rayuan secara tradisinya tertumpu di Putrajaya, situasi yang mengehadkan pendedahan kepada pengamal di luar Lembah Klang.

“Dengan mendekatkan pendengaran rayuan kepada peguam di negeri-negeri dapat mengukuhkan penyertaan, meluaskan pengalaman advokasi dan menyokong pengagihan kepakaran undang-undang yang lebih sekata di seluruh negara.

“Dengan mengagihkan perbicaraan, Mahkamah Rayuan boleh menguruskan beban kes dengan lebih berkesan, mempercepatkan garis masa pelupusan dan mengurangkan tekanan ke atas senarai rayuan di Putrajaya, sambil berkhidmat kepada masyarakat di mana pertikaian undang-undang ditimbulkan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast