TENOM – Calon Barisan Nasional (BN) N.43 Kemabong, Datuk Rahmah Jan Sulaiman Khan tidak pernah gentar dengan menghadapi pelbagai menghadapi pelbagai isu apatah lagi hanya berbaki beberapa hari untuk berkempen.
Beliau mengakui sentimen yang dimainkan sesetengah pihaknya adalah berkisarkan dirinya bukan daripada keturunan Murut.
“Saya sedar ada sangkaan begitu buat saya memandangkan majoriti penduduk di sini berketurunan Murut.
“Tapi lebih tiga tahun saya di sini, khidmat bakti saya tidak mengira itu semua, bantuan diberikan sama rama kepada semua,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Beliau ditemui selepas selesai bersama penduduk kampung kawasan sekitar Kemabong.
Mengakui wujud sentimen bahawa dirinya bukanlah calon yang berasal daripada keturunan Murut, Rahmah Jan berkata, perkara itu tidak menjadi penghalang kerana telah membina hubungan rapat dengan masyarakat tempatan.
“Alhamdulillah, sepanjang tiga tahun saya berkhidmat di sini, masyarakat Kemabong sangat dekat dengan saya.
“Sebenarnya tidak ada isu pun asal keturunan kerana mereka tahu siapa yang buat kerja dan siapa tidak,” katanya.

Rahmah Jan juga tidak melihat penyandang DUN Kemabong sebagai cabaran besar, sebaliknya jentera BN akan terus bekerja sehingga ke saat akhir kempen.
“Rata-rata penduduk di Kemabong mahukan pembaharuan dari segi jalan raya dan keperluan asas lain yang masih menjadi masalah kronik.
“Walaupun sekarang kami pembangkang di sini, tetapi khidmat bakti kami kepada mereka sama macam kerajaan.
“Walaupun terhad, saya tetap cuba membantu, jadi jika kami diberikan peluang pastinya pelbagai usaha dapat dimajukan,” jelasnya.
Beliau juga percaya perkara utama yang diminta rakyat iaitu pembaharuan infrastruktur dan keperluan asas akan dapat dilaksanakan jika mandat diberikan kepada BN.
“Saya sangat yakin pengundi Kemabong sudah arif untuk memilih wakil rakyat yang terbukti berkhidmat demi pembangunan.
“Saya tahu akan menentang nama-nama besar dan pernah berkhidmat sebelum ini, tetapi dengan usaha keras kami dan rakyat melihat sendiri Kemabong masih tiada perubahan, sudah tiba masanya mereka membuat pilihan yang baharu,” ujarnya.
Kemabong menyaksikan pertembungan Rahmah Jan akan menentang penyandang yang sudah lama di situ iaitu Datuk Rubin Balang (GRS).
Selain Rubin, calon lain adalah Noorita Sual (PH), Rassedi Liaron (PPRS), Burnley Balang (Warisan), Jasni Angkiwan (PIS), Petrus Yahya (BEBAS), Hasmin Azroy Abdullah (STAR) dan Yabri Onos (KDM).
Dun Kemabong mempunyai 23,168 pengundi yang akan menunaikan tanggungjawab mereka pada 29 November ini. – MalaysiaGazette
















