Peguam Sankara Nair

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi menetapkan 29 Disember ini bagi pengurusan kes taksiran ganti rugi yang perlu dibayar oleh dua pentadbir saluran Telegram `Edisi Siasat’ dan `Edisi Khas’ kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung penyebaran kandungan memudaratkan.

Peguam Datuk Sankara Nair yang mewakili SKMM memberitahu wakil media hari ini, tarikh itu bagi mendapatkan arahan lanjut berkaitan prosiding taksiran ganti rugi ekoran penghakiman ingkar yang diperolehi terhadap kedua-dua defendan.

Beliau menyatakan demikian selepas sesi pengurusan kes status tindakan writ saman yang difailkan oleh SKMM berkaitan penyebaran kandungan memudaratkan.

Pada 14 November lalu, SKMM menang dalam tuntutan samannya terhadap dua pentadbir `Edisi Siasat’ dan `Edisi Khas’ dan berjaya mendapatkan penghakiman ingkar terhadap mereka.

Hakim Mahazan Mat Taib memutuskan demikian selepas dua individu tidak dikenali yang merupakan pentadbir saluran Telegram itu gagal menjawab tuntutan saman yang difailkan SKMM.

Dalam notis yang difailkan oleh SKMM pada 25 September lalu, agensi itu memohon kebenaran memasukkan penghakiman ingkar terhadap kedua-dua defendan bagi mengendorskan writ saman bertarikh 21 Mei lalu.

Melalui penghakiman ingkar, plaintif mendapat deklarasi bahawa kedua-dua defendan membenarkan atau memudahkan penggunaan salurannya untuk menerbit dan mengedarkan kandungan yang memudaratkan.

SKMM turut memperoleh injunksi mandatori yang mengarahkan kedua-dua defendan untuk serta merta dan secara kekal menurunkan semua kandungan palsu, mengancam dan jelik.

Menurut penghakiman ingkar itu, mahkamah turut mengeluarkan injunksi yang melarang Edisi Siasat dan Edisi Khas, ejen, pekerja atau sekutu mereka daripada terus mengucapkan, menulis, menyebar atau mengedar semula kandungan yang memberi kesan dan maksud serupa.

Pada 11 September lalu, mahkamah membenarkan permohonan SKMM supaya Telegram Messenger Inc (defendan ketiga) dan pentadbir saluran Edisi Siasat dan Edisi Khas dihalang menyebarkan atau menerbitkan 33 artikel yang memudaratkan awam.

Pada 21 Mei lalu, SKMM selaku plaintif memfailkan saman dengan menamakan dua individu yang tidak dikenali selaku pentadbir saluran Telegram ‘Edisi Siasat’, Edisi Khas serta Telegram Messenger Inc dengan mendakwa saluran berkenaan terlibat dalam kempen terancang yang menyasarkan Institusi Diraja, badan atau institusi awam sejak 6 Februari 2024.

SKMM turut mendakwa defendan menyebarkan berita palsu dan mengelirukan bertujuan mengganggu ketenteraman awam serta melemahkan kepercayaan terhadap tadbir urus negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast