Temubual bersama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah yang juga calon Barisan Nasional N.58 Lamag, Datuk Seri Bung Moktar Radin pada Program SkopMG sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 di Kota Kinabalu, Sabah. Foto FAREEZ FADZIL, 25 NOVEMBER 2025.

KINABATANGAN – Berbaki kurang 48 jam sebelum tirai kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 ditutup, Datuk Seri Bung Moktar Radin menyifatkan saat-saat akhir kempen ini adalah tempoh kritikal kerana setiap undi dan setiap gerakan jentera mampu menentukan kemenangan komponen parti tersebut.

Beliau yang juga calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.58 Lamag masih giat menjalankan kempen dari rumah ke rumah, perjumpaan komuniti dan libat urus bersama pengundi.

Menurutnya, semua ini dilakukan bagi memastikan momentum kemenangan berada di pihak BN.

“Rekod pembangunan yang dibawa BN termasuk projek infrastruktur, peluang ekonomi dan agenda kesejahteraan rakyat adalah bukti kukuh BN bukan parti yang berjanji di pentas tetapi parti yang menunaikan kerja di lapangan,” katanya dalam program ramah mesra bersama pengundi Lamag, di sini hari ini.

Bung Moktar yang juga Pengerusi BN Sabah berkata, keputusan di hari pengundian akan menentukan sama ada pembangunan di Lamag diteruskan dengan momentum yang ada atau terhenti di tengah jalan.

“Ini masa untuk bangkit. Masa untuk turun mengundi. Setiap undi menentukan masa depan Lamag,” katanya.

Bung Moktar bersama sebahagian pengundi Dun N.58 Lamag selepas program ramah mesra di Lamag, hari ini.

Dalam nada penuh semangat, Bung turut menyampaikan pesanan keras kepada semua calon BN di seluruh Sabah agar terus berjuang hingga saat terakhir. Jangan lepaskan walau satu peluang mendekati rakyat.

“Kita bukan bertanding untuk diri kita, tetapi bertanding untuk masa depan Sabah. Bawa semangat BN, bawa rekod kejayaan BN dan pastikan kemenangan BN di setiap DUN,” tegasnya.

Bung turut menyeru penyokong BN di Lamag agar keluar bersama-sama ahli keluarga dan rakan sekerja ke pusat mengundi dan memastikan suara rakyat diterjemah dalam bentuk undi kemenangan.

Selain Bung, DUN Lamag menyaksikan enam penjuru iaitu calon daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Johainizamshah Johari; Mohd Saifulah Lokman (Warisan); Mazlin Madali (Perikatan Nasional); Salahuddin@Salehuddin Anoi (Parti Impian Sabah) dan calon Bebas, Mohd Ismail Ayob. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast