Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini merakam keterangan wanita yang berada dalam klip video perbualan bersama seorang ahli perniagaan bagi membantu siasatan melibatkan tohmahan terhadap bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri.

Menurut sumber, wanita berkenaan yang dikenali sebagai Sofia Rini Buyong telah hadir di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya kira-kira jam 2 petang dan sehingga jam 8 malam tadi, proses mengambil keterangannya masih belum selesai.

“SPRM juga telah menghubungi bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri dan dimaklumkan bahawa individu terbabit tidak dapat hadir hari ini kerana berada di Sabah dan akan hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM pada petang esok.

“Manakala, ahli perniagaan bernama Albert Tei pula memaklumkan mempunyai masalah tertentu yang tidak dapat dielakkan dan akan hadir ke Ibu Pejabat SPRM bagi dirakam keterangan pada hari Isnin depan,” katanya.

Sumber menambah, buat masa ini, hanya tiga individu berkenaan dipanggil bagi dirakam keterangan dan SPRM akan melihat keperluan untuk memanggil saksi-saksi lain berdasarkan keperluan serta hasil siasatan.

“Jadi, mana-mana pihak yang dipanggil SPRM selepas ini perlu segera datang bagi membantu siasatan terutama apabila ia melibatkan kes serius seperti ini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Zainul Darus Ketika dihubungi mengesahkan perkara berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast