Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali

KUALA LUMPUR – Bekas Setiausaha Majlis Syura Ulamak Pas, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berpandangan mereka yang tidak bersetuju dengan pendirian Pas tidak bererti turut tidak bersetuju dengan Islam.

Beliau yang kini merupakan Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO berkata, meninggalkan perjuangan Pas yang berasaskan Islam juga tidak bererti meninggalkan perjuangan Islam.

Ini kerana, menurutnya, perjuangan Islam masih boleh diteruskan meskipun dengan pendekatan yang tidak sama dengan cara Pas.

“Tidak istiqamah dengan Pas tidak bererti tidak istiqamah dengan Islam.

“Mengehadkan istiqamah hanya dengan Pas adalah `mencuri’ istilah `istiqamah’ yang sepatutnya untuk Islam sahaja.

“Pas adalah sebahagian daripada umat Islam yang berpegang dengan Islam dan Pas bukan satu-satunya yang berpegang dengan Islam,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau.

Mohd. Khairuddin yang juga Penasihat Agama kepada Timbalan Perdana Menteri merujuk kepada kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menerusi Minda Presiden Pas yang menyatakan mereka yang keluar daripada Pas tidak istiqamah dengan dasar perjuangan yang dibawa oleh Pas.

Menurut beliau, tiada siapa perlu istiqamah dengan perjuangan Pas sekiranya tidak bersetuju dengan tafsiran dan pendirian politik Pas dalam memperjuangkan Islam.

Ini kerana, ujarnya, isu-isu berkaitan politik adalah bersifat anjal yang boleh berlaku perbezaan pendapat dan tafsiran mengenainya.

Tambahnya, meskipun dasar perjuangan Pas ialah Islam, namun ia tidak menafikan hak parti lain untuck turut menjadikan Islam sebagai dasar perjuangan politik.

“Selamat meninggalkan Pas kepada siapa yang tidak bersetuju dengan pendirian Pas.

“Tiada dosa dan pahala dalam tindakan yang harus hukumnya.

“Kepada yang masih kekal dalam Pas bolehlah mengkritik mana yang lemah dan perkasakan mana yang baik,” katanya.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast