PUTRAJAYA – Perbezaan pentadbiran Kerajaan Madani ketika ini apabila terasnya masih mengutamakan akhlak dan nilai di mana dunia sedang mencari kemajuan dan pembangunan yang pantas, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri bagaimanapun berkata, terdapat usaha bersungguh-sungguh kerajaan untuk memenuhi maksud negara Madani itu supaya tidak ketinggalan dalam bidang dan ilmu diterokai yang dianggap baharu seperti kecerdasan buatan (AI).
Menurut beliau, ia tidak boleh dipinggirkan dalam usaha menetapkan soal kemampanan yang menyebabkan kekuatan keyakinan akidah dalam mempertahankan nilai insaniah yang sesuai dengan amanah yang diberikan.
“Semua negara bicara tentang kemampanan dan sekarang bila negara menuju kepada kepantasan pertumbuhan ekonomi yang segar, semua membicarakan soal transisi tenaga dan transformasi digital serta kecerdasan buatan.
“Bezanya dalam negara Madani apabila terasnya itu masih akhlak dan nilai, kita bicara tentang dunia yang berebut untuk mencatat kemajuan dan pembangunan yang pantas dan segar tetapi luntur nilai manusiawinya dan akhlaknya.
“Dan sebab itulah ada usaha yang lebih bersungguh-sungguh untuk memenuhi maksud negara Madani ini supaya kita tidak ketinggalan dalam bidang-bidang dan ilmu yang kita terokai yang dianggap baharu termasuk yang saya sebut tadi artificial intelligence atau digital dan aspek-aspek tenaga baharu.
“Tidak boleh dipinggirkan usaha menetapkan soal kemampanan menyebabkan kekuatan keyakinan akidah kita dan mempertahankan nilai insaniah sesuai dengan amanah kita meningkatkan karamah insaniah dengan meletakkan isu nilai dan akhlak dalam seluruh rangka pendidikan, ekonomi, teknologi dan siasah atau tatakelola kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada ke Majlis Perasmian Khatam Sama’ Hadis Sahih Muslim Antarabangsa 2025 di Masjid Putra di sini malam ini.
Mengulas lanjut, Anwar menambah, program itu menjadi saksi kerana negara ini merupakan satu-satunya kerajaan yang berjaya selain dari menekankan pengajian al-Quran.
Perdana Menteri berkata, kerajaan komited mendukung usaha-usaha sama ada di sekolah-sekolah biasa yang ada atau pun sekolah-sekolah agama serta sekolah-sekolah pondok mulai tahun ini.
Pada masa sama, kata beliau, kerajan juga menekankan usaha mengimarahkan masjid, meningkatkan dan menghafaz hadis yang bermula tahun lalu dengan kejayaaan. – MalaysiaGazette















