KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menyeru semua pihak supaya lebih profesional dan menghormati proses siasatan semua kes yang sedang dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, semua pihak perlu mengelak membuat dakwaan tidak berasas yang boleh mencemar reputasi institusi negara dan memberi ruang secukupnya kepada SPRM bertindak mengikut undang-undang tanpa tekanan politik.
Ujarnya, MCW bimbang sekiranya sebahagian kritikan yang dilemparkan mempunyai agenda bersifat politik atau bermotif menjatuhkan keyakinan rakyat terhadap agensi penguatkuasaan menjadi satu tindakan yang akhirnya hanya merugikan negara.
“MCW menegaskan komitmen memperkukuh integriti, memperkasa kesedaran dan keyakinan rakyat untuk sama-sama mempertahankan imej institusi penguatkuasaan daripada sebarang ‘serangan’ yang tidak berasas.
“Ini demi memastikan tugasan pembanterasan rasuah SPRM dapat dilaksanakan dengan lancar,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Jais merujuk kepada kenyataan sekumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti dilaporkan portal media yang mendakwa wujud defisit keyakinan dalam kalangan rakyat terhadap SPRM.
Dalam kenyataan itu, beberapa isu telah disenaraikan sebagai alasan kepada dakwaan defisit keyakinan tersebut antaranya berkenaan isu pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dan isu bekas Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Farhash Wafa Salvador.
Turut dibangkitkan adalah berkenaan siasatan ke atas bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tun Daim Zainuddin serta dakwaan pilih kasih dalam kes melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah.
Sementara itu, Jais berkata, kesemua isu yang dibangkitkan tersebut sudah diperjelaskan berdasarkan fakta siasatan dan rekod rasmi yang boleh diakses awam.
Ujar beliau, MCW menghormati hak semua pihak untuk bersuara, namun kritikan yang tidak berasaskan fakta; bersifat manipulatif atau bermotif politik hanya akan melemahkan institusi penguatkuasaan negara.
“Malaysia memerlukan ekosistem integriti yang mapan. Ini hanya boleh dicapai apabila masyarakat, media, NGO dan parti politik bertindak adil, tidak memanipulasi persepsi awam dan memberikan ruang kepada SPRM melaksanakan tugasnya secara bebas,” katanya. – MalaysiaGazette
















