KUALA LUMPUR – Para petugas kesihatan di beberapa hospital universiti awam didakwa masih dibayar mengikut kadar Elaun Tugas Atas Panggilan (ETAP) lama, meskipun kadar baharu sudah bermula sejak 1 Oktober lalu.
Hospital universiti awam itu termasuk di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM); Universiti Islam Antarabangsa Islam Malaysia (UIAM); Uinversiti Sains Malaysia (USM); Universiti Malaya (UM) dan UPM.
Ahli Dewan Negara, Dr. R.A. Lingeshwaran berkata, situasi itu merupakan percanggahan serius terutama selepas pengumuman rasmi dan arahan pekeliling daripada Kementerian Kesihatan (KKM) yang jelas menyebut kenaikan kadar tersebut turut dipanjangkan kepada universiti awam.
Lebih membimbangkan, katanya, beliau difahamkan terdapat amalan tidak adil di beberapa jabatan seperti di Jabatan Obstetrik dan Ginekologi (O&G) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), yang mana dua Pegawai Perubatan diwajibkan bertugas atas panggilan (on-call) secara aktif, namun hanya satu tuntutan ETAP dibenarkan.

“Ini bermakna dua individu yang sama-sama berkorban masa dan tenaga, terpaksa berkongsi bayaran untuk satu shift.
“Amalan ini bukan sahaja tidak berperikemanusiaan dan tidak menghargai komitmen mereka, malah mencerminkan kelemahan pengurusan yang serius di peringkat jabatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Lingeshwaran menggesa Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengambil tindakan serta-merta dan tegas termasuk memastikan pematuhan segera tanpa pengecualian terhadap Pekeliling ETAP baharu, termasuk membayar tunggakan (retrospektif) mulai 1 Oktober 2025.
Selain itu, katanya, KPT juga perlu memastikan amalan berkongsi tuntutan dihapuskan dan menyiasat serta menghentikan serta-merta amalan tidak adil di HUSM dan mana-mana hospital universiti lain yang memaksa Pegawai Perubatan berkongsi tuntutan ETAP.
Tegas beliau, setiap individu yang menjalankan tugas atas panggilan mesti dibayar tuntutan penuh berdasarkan kelayakan jawatan dan jenis panggilan.
“KPT juga perlu melakukan audit segera ke atas Bahagian Sumber Manusia dan Kewangan di hospital universiti yang terlibat bagi mengenal pasti punca kelewatan dan kegagalan pembayaran ini,” katanya.
Tegas beliau, kesejahteraan pegawai dan pakar perubatan adalah nadi kepada sistem kesihatan negara, justeru kegagalan memelihara kebajikan mereka akan hanya memburukkan lagi isu kakitangan dan kepakaran yang kritikal.
“Saya berdiri teguh menyokong semua petugas kesihatan dan mendesak kerajaan agar bertindak pantas,” katanya. – MalaysiaGazette
















