KOTA KINABALU – Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 bakal melabuhkan tirainya esok dan setiap undian akan menentukan masa depan Sabah.
Timbalan Setiausaha parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohamad Ali berkata, ia bukan sekadar tentang memilih wakil rakyat, tetapi merupakan keputusan besar yang akan menentukan hala tuju dan masa depan Sabah untuk lima tahun akan datang.
“Setiap undi yang dicatat membawa lebih daripada sekadar tanda di kertas, sebaliknya membawa harapan, suara, dan amanah untuk memastikan Sabah terus melangkah ke hadapan di landasan dan tangan yang betul.
“GRS telah berusaha menggerakkan pembangunan dan menyelesaikan isu-isu legasi yang membelenggu negeri ini puluhan tahun lamanya.
“Dalam lima tahun ini, GRS telah berusaha menggerakkan Pembangunan, kami tidak sempurna namun kami tidak pernah berhenti bekerja,” katanya dalam satu kenyataan.
Datuk Armizan yang merupakan Ahli Parlimen Papar turut menegaskan komitmen gabungan itu.
“Kami walk the talk. Work in progress. Segala yang dilakukan bukan untuk kemenangan politik semata-mata tetapi berpaksikan kepada prinsip bahawa Sabah ini rumah kita dan rumah kita, kita jaga bersama,” katanya.
Dalam gesaan khusus kepada penduduk di kawasan Papar, Armizan menyeru kepada semua Sabahan khususnya keluarga besar PAPARian untuk menunaikan tanggungjawab bagi memastikan daerah Papar dapat dibangunkan dengan pesat.
“Pilihan anda akan menentukan nasib daerah Papar ini.
“Kami memerlukan sokongan pasukan yang kuat di peringkat negeri yang boleh mempercepat dan mempermudahkan agenda kemajuan di peringkat daerah,” ujarnya.
Armizan juga optimis dan meletakkan kepercayaan penuh ketiga-tiga calon GRS bagi DUN Kawang, Pantai Manis, dan Limbahau adalah pilihan tepat untuk membawa suara rakyat dan melanjutkan pembangunan yang sedang berjalan.
“Insya-Allah, jika diberikan mandat kami akan bekerjasama, berusaha menjalankan amanah dan bertanggungjawab kepada rakyat untuk mencari ikhtiar yang terbaik untuk PAPARian,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















