Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar bercakap pada media berkenaan Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Daerah Shah Alam di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 28 NOVEMBER 2025.

SHAH ALAM – Polis Selangor sedia untuk menggerakkan aset dan kekuatan tenaga bagi membantu menghadapi impak Ribut Tropika Senyar  di seluruh negeri ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, aset-aset kontinjen Selangor telah disiapkan lebih awal,  sejak amaran Monsun Timur Laut (MTL) dikeluarkan.

“PDRM Selangor telah membuat persediaan awal lagi, bukan sahaja tunggu laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) tentang jangkaan cuaca.

“Malah, kami juga bekerjasama dengan agensi-agensi lain yang berkaitan,” katanya  ketika ditemui ketika Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Shah Alam, SAC Iqbal Ibrahim kepada ACP Ramsay Anak Embol, di sini hari ini.

Antara aset-aset yang bakal digunakan ialah bot dan kenderaan berat.

“PDRM juga guna kenderaan-kenderaan berat untuk membantu untuk gerakkan pelajar (Sijil Pelajaran Malaysia) SPM ke sekolah. Kita juga menyeru sekiranya ada yang berdepan kesukaran untuk berhubung terus dengan pihak PDRM kita akan membantu,” katanya lagi.

Ribut Tropika Senyar dikesan memasuki ruang udara Malaysia sejak petang semalam.

MetMalaysia berkata, ribut tersebut berpotensi membawa hujan lebat berterusan, angin kencang dan laut bergelora di semenanjung bermula tengah malam ini hingga esok.

Sehubungan itu,  orang ramai khususnya  di sempadan Selangor-Perak dan Pahang dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast