GEORGE TOWN – Seorang wanita warga emas yang juga runner bagi urusan dokumen Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan memperdagangkan seorang bayi perempuan bagi tujuan eksploitasi.
Tertuduh, Tang Wui Soo, 62, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Juraidah Abbas.
Mengikut pertuduhan ibu kepada dua cahaya mata itu didakwa memperdagangkan seorang bayi perempuan yang lahir pada 17 November 2021, bagi tujuan eksploitasi yang menyalahi undang-undang iaitu Seksyen 48 Akta Kanak-Kanak 2001.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah hospital swasta di Jalan Macalister di sini, jam 1.45 tengah hari pada 24 November 2021.
Bagi kesalahan itu, pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara seumur hidup atau penjara tidak kurang lima tahun dan boleh juga dihukum sebat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Puteri Nor Nadia Mohamed manakala tertuduh diwakili peguam, RSN Rayer.
Ketika prosiding Puteri Nor Nadia menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan dilarang menganggu saksi pendakwaan dan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Bagaimanapun, Rayer dalam mitigasi rayuan memaklumkan anak guamnya yang merupakan seorang suri rumah menghadapi pelbagai masalah kesihatan dan sedang menerima rawatan di Putrajaya.
“Anak guam saya diberikan jaminan polis pada 20 November lalu tanpa sebarang cagaran dan dia yang tinggal di Jitra, Kedah tetap hadir apabila dihubungi pegawai polis untuk pendakwaan hari ini.
“Saya mohon mahkamah mengambil kira kesemua faktor tersebut dan memberikan jaminan RM5,000 kerana jaminan bertujuan memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah dan bukan bersifat menghukum sebelum seseorang didapati bersalah,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin tempatan serta syarat tambahan yang dimohon timbalan pendakwa raya.
Kes akan disebut semula untuk serahan dokumen pada 8 Januari depan. – MalaysiaGazette
















