Jurucakap kerajaan yang juga Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil bercakap kepada pemberita pada sidang media mingguan di Kementerian Komunikasi, Putrajaya, pada Rabu

KUALA LUMPUR – Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz akan terus membantu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meskipun tidak lagi memegang jawatan tersebut.

Jurucakap Kerajaan, Datuk Ahmad Fahmi Fadzil berkata, perkara itu mengambil kira sumbangan serta peranan penting Tengku Zafrul dalam membawa masuk pelaburan dan merintis beberapa perundingan perdagangan dengan negara luar sebelum ini.

“Beliau akan membantu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan dalam bentuk kedudukan mahupun jawatan yang berbeza di masa akan datang.

“Tapi apa jawatan atau kedudukan itu tidak dinyatakan, jadi kita tunggu bila tiba masanya,” katanya dalam sidang media pasca mesyuarat Kabinet di Kementerian Komunikasi, hari ini.

Menurut Fahmi lagi, mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Anwar itu merupakan penyertaan terakhir Tengku Zafrul sebagai anggota jemaah menteri.

“Perdana Menteri telah mengucapkan terima kasih di atas khidmat bakti beliau dengan kejayaan termasuk dari segi pelaburan, perundingan perdagangan banyak yang telah berjaya,” ujarnya.

Tengku Zafrul sebelum ini mengesahkan beliau akan menamatkan tugas di kementerian berkenaan pada 2 Disember ini susulan tamat tempoh pelantikannya sebagai Senator.

Sebelum menyertai Kabinet, beliau berkhidmat lebih 22 tahun dalam industri perbankan dan perkhidmatan kewangan, termasuk sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Eksekutif CIMB Group Holdings Bhd serta Presiden Pesuruhjaya PT Bank CIMB Niaga di Indonesia.

Tengku Zafrul dilantik sebagai menteri dalam kapasiti seorang Senator.

Beliau memulakan penggal kedua sebagai anggota Dewan Negara pada Disember 2022 mengikut jumlah maksimum penggal yang dibenarkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast