Hajiji Noor

TUARAN – Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yakin dapat mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman dalam Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 yang dimenangi penyandangnya, Datuk Seri Hajiji Noor.

Hajiji yang juga pengerusi dan calon GRS di kerusi N12 Sulaman berkata, beliau sangat arif dengan selok-belok keadaan DUN Sulaman yang dimenanginnya selama lapan penggal sejak 1990.

“Harapan saya kalau di Sulaman ini, saya amat yakin bahawa GRS akan memperolehi kemenangan.

“Saya tahu keadaan Sulaman ini yang sudah lama saya wakili, saya amat yakin. Kita tunggu saja selepas keputusan pilihan raya nanti.

“Apa pun keputusan rakyat saya hormati. Saya senang hati dapat mengundi bersama keluarga, saya pun tidak tahu siapa saya undi,” katanya kepada pemberita di Sekolah Kebangsaan (SK) Serusup, di sini, hari ini.

Ketua Menteri Sabah yang juga Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor dan isteri, Datin Seri Juliah Salag menunaikan tanggungjawap pada hari pengundian sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 di Sekolah Kebangsaan Serusup, Sabah. Foto MOHD ADZLAN, 29 NOVEMBER 2025.

Terdahulu Hajiji bersama isterinya, Datin Seri Julia Salag tiba di pusat pengundian SK Serusup kira-kira jam 11.30 pagi dan selesai mengundi kira-kira jam 11.40 pagi.

Pada 15 November lalu, Pegawai Pengurus Pilihan Raya PRN17 Sabah N.12 Sulaman, Ibrahim Terki mengesahkan, DUN Sulaman menyaksikan pertandingan lima penjuru.

Selain Hajiji Noor, beliau dicabar empat calon lain termasuk Dr Shahnon Rizal Thajuddin (BN), Mokhtar Hussin (Warisan); Pajudin Nordin (Parti Impian Sabah) serta Tiaminah @ Siti Aminah Ele (PN).

Dalam Pilihan Raya Negeri Sabah ke-16 pada September 2020, Hajiji menang di DUN Sulaman yang disandang sejak 1990 dengan majoriti 3,099 undi.

Ketika itu, Hajiji merupakan Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Sabah (PN).

Ketua Menteri Sabah yang juga Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor bercakap kepada media selepas selesai menunaikan tanggungjawap pada hari pengundian sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 di Sekolah Kebangsaan Serusup, Sabah. Foto MOHD ADZLAN, 29 NOVEMBER 2025.

Selain itu, Hajiji juga menasihatkan pengundi-pengundi yang berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing sebagai pemilih yang sah.

“Kita berharap rakyat kita pengundi berdaftar, keluarlah mengundi untuk menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi,” katanya.

Selain itu, Hajiji berpuas hati dengan proses pengundian yang berjalan dengan lancar tanpa sebarang gangguan dan provokasi antara parti-parti yang bertanding kali ini.

“Saya dapat laporan begitu baik, aman, damai, walaupun ramai calon bertanding, tetapi keharmonian itu mesti dipertahankan,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar merancang perjalanan untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi dan elakkan mengundi di saat akhir.

“Saya tidak tahu di daerah-daerah lain, tetapi di Tuaran ini saya nampak sampai sekarang cuaca baik, jadi mengikut ramalan cuaca, mungkin petang ada hujan, jadi kita minta mereka datang awal mengundi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast