SHAH ALAM – Karnival Zakat Selangor (KZS) 2025 yang berlangsung di Dewan Raja Muda Musa di sini, mendapat sambutan menggalakkan selepas dihadiri kira-kira 15,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjurannya sejak Jumaat lalu.
Kemuncak acara itu berlangsung pagi ini yang turut menyaksikan acara larian Zakat Selangor Run yang disertai lebih 1,000 orang, dengan perasmian program disempurnakan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Lembaga Zakat Selangor (LZS), Tan Sri Raja Arshad Raja Uda.
Sepanjang tiga hari penganjurannya, KZS 2025 menjadi platform kepada penduduk Selangor mengenali dan mendapatkan maklumat berhubung perkhidmatan yang ditawarkan secara langsung dengan para pegawai institusi berkenaan.
Antara pengisian utama pada program itu adalah i-Kerjaya yang menawarkan lebih 1,500 peluang pekerjaan daripada 20 majikan bagi membantu asnaf fakir, miskin dan mualaf memperoleh kerjaya yang lebih stabil dan bersesuaian.

Selain itu, KZS 2025 turut disemarakkan dengan pelbagai aktiviti komuniti dan keluarga menerusi pembabitan lebih 150 pempamer daripada agensi kerajaan, swasta dan usahawan tempatan.
Turut diadakan adalah jualan rahmah, food truck, pertandingan mewarna, sukan rakyat, demonstrasi seni silat, persembahan nasyid, pameran perkhidmatan zakat dan banyak lagi.
Lebih menarik, pada penganjuran kali ini, Lembaga Zakat Selangor (LZS) turut memperkenalkan kempen Impak Dirasa iaitu inisiatif hujung tahun bertujuan menggalakkan umat Islam menunaikan zakat sebelum berakhirnya tahun ini, yang turut dilancarkan Raja Arshad.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Khaidzir Shahari, berkata, kempen Impak Dirasa yang bermula sejak Oktober lalu akan diteruskan hingga akhir Disember ini bertujuan menonjolkan bahawa kebaikan zakat bukan sekadar dilihat, tetapi turut dirasai oleh masyarakat.

Jelas beliau, kempen itu digerakkan dengan satu matlamat yang jelas iaitu mengajak, menggalakkan dan menyedarkan masyarakat untuk menunaikan zakat pada waktunya, dengan memahami impak sebenar zakat kepada kehidupan asnaf
Ujarnya, Disember sebagai bulan puncak, adalah waktu terbaik untuk masyarakat menyempurnakan zakat, menutup tahun dengan penuh keberkatan dan membantu memperkukuh dana asnaf bagi tahun hadapan.
“Saya percaya pendekatan yang diambil ini dapat membantu meningkatkan lagi kesedaran serta menggalakkan orang ramai menjadi lebih peka dan prihatin untuk tampil menunaikan zakat lebih-lebih lagi kita kini sudah menghampiri penghujung tahun 2025.
“Di LZS, bulan Disember lebih dikenali sebagai bulan puncak kerana trend menunjukkan orang ramai lebih gemar memilih Disember sebagai tempoh cukup haul bagi mereka mengeluarkan zakat.
“Bagi memenuhi keperluan tersebut, seperti tahun-tahun sebelum ini, 19 cawangan kami akan beroperasi tujuh hari seminggu termasuklah Sabtu dan Ahad serta cuti umum bagi memudahkan masyarakat Islam menunaikan kewajipan berzakat,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian program KZS 2025 hari ini.

Sementara itu, pada majlis sama, LZS turut menerima sejumlah RM1.5 juta pemberian zakat korporat daripada empat syarikat perniagaan termasuk Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. berjumlah (RM815,000); Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. (RM494,812); As-Salihin Trustee Berhad Hibah of Mohamed Yusuf @ Abdul Aziz bin Hashim (RM248,453) dan Fly High Education Centre (RM30,000). – MalaysiaGazette
















